Sebentar tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu berita yang agak melegakan kepada semua masyarakat. Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir pada 9 Jun 2020 akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP yang akan bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020.
Dalam tempoh PKPP ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.
Rentas negeri dibenarkan
Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD. Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian.
Sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung. Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan.
Dalam tempoh PKPP ini juga, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP. Seperti mana yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, perkhidmatan gunting rambut dan salun akan dibenarkan. Pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam, pasar tamu, bazaria, medan selera, pusat penjaja, food truck dan gerai makan juga akan dibenarkan.
Pelancongan domestik dibenarkan
Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik akan dibenarkan. Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baharu atau new normal setelah hampir 3 bulan tidak ke mana-mana. Bagi yang berhasrat untuk melancong ke luar negara, tunggu dulu kerana sempadan negara kita masih ditutup.
Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, Sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam. Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi.
Sumber: Buletin TV3