berita

Polis Akhirnya Sahkan Anak Eizlan Yusof Memang Terlibat Kemalangan

July 19th, 2019 | by Amirul Asraf
Isu & Kontroversi

Baru-baru ini, penerbit dan pelakon, Datuk Eizlan Yusof, menuntut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah menjejaskan reputasi diri dan keluarganya berikutan penafian penglibatan anaknya dalam sebuah kemalangan di Sekinchan, Kuala Selangor.

Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, pihak polis mengesahkan anak pelakon tersebut terbabit dalam kemalangan yang membabitkan dua kenderaan pada 11 Julai lalu.

Menimbulkan kekeliruan

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon, kenyataan kepada pengamal media pada hari kejadian menimbulkan kekeliruan disebabkan hasil siasatan awal yang diterima. Tambahnya, kenyataan awal dibuat bagi menjawab pertanyaan pihak media dan siasatan pada ketika itu masih belum selesai.

Waktu itu, polis masih dalam proses mengambil keterangan daripada saksi terbabit dan saksi kemalangan. Namun, selepas siasatan lengkap, polis mendapati seorang kanak-kanak bernama Zareef Idris Yusof, telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam yang kemudiannya dikenal pasti sebagai anak pelakon terbabit.

Beliau turut berkata, pihak polis sentiasa menjalankan siasatan secara teliti dan telus mengikut prosedur siasatan yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, kertas siasatan sedang disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.

Permohonan maaf sehingga hujung bulan

Sebelum ini, Eizlan Yusof meminta pihak polis untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung penafian kemalangan jalan raya membabitkan anaknya. Tempoh permohonan maaf tersebut diberi sehigga hujung bulan ini dan jka tiada sebarang maklum balas, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang. Tambahnya, permohonan maaf itu bertujuan membersihkan nama anaknya berikutan kenyataan polis yang menafikan anaknya terlibat dalam kemalangan tersebut.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.