Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai lima orang anggota polis yang terdiri daripada tiga pegawai dan dua anggota polis yang dipercayai terlibat dengan sindiket wang haram geng ‘Macau Scam’.
Artikel berkaitan: Wang RM100K Ditemui Di Rumah Pegawai Polis, Disyaki Terlibat Dalam Sindiket ‘Cuci Duit’ & Macau Scam
Terbaru, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Datuk Seri Azam Baki melaporkan terdapat beberapa selebriti dan ahli perniagaan yang dipercayai terlibat sama sehingga terbongkarnya aktiviti ‘cuci’ duit haram itu.
Tidak mahu buat spekulasi
Memetik laporan Harian Metro, Datuk Seri Azam Baki tidak mahu membuat sebarang spekulasi atau kenyataan siapa yang akan dipanggil pula selepas ini untuk memberi keterangan.
Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa yang akan dipanggil, namun siapa yang makan cili pasti rasa pedas. Dalam kes sebegini, ada juga sindiket yang bertindak sebagai peminjam seperti along kepada individu berkenaan. Dari segi luaran, perniagaan itu mungkin nampak ia adalah sah melalui perolehan perniagaan tetapi ia adalah sebaliknya.
Tambahnya, dipercayai terdapat beberapa selebriti dan ahli perniagaan yang berada dalam radar agensi sindiket penipuan Macau Scam serta judi dalam talian.
Tampil beri kerjasama
Oleh demikian, SPRM meminta orang ramai yang pernah menerima wang daripada mereka untuk tampil memberi kerjasama bagi membantu siasatan. Tambahnya lagi, pihak SPRM sudah mempunyai senarai nama individu yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut.
SPRM juga meminta agar orang ramai bersabar kerana mereka masih lagi mengesan beberapa aset yang dipercayai sudah digubah.
Mereka yang mungkin pernah menerima dana daripada individu yang ditahan itu diminta tampil sebelum mereka dipanggil. Tidak perlu tunggu untuk dipanggil sebaliknya tampil beri kerjasama kepada kami dan kami akan melayan mereka dengan baik.
Dalam siasatan ini didapati beratus-ratus syarikat ‘dummy’ yang sengaja diwujudkan untuk menyalurkan wang haram ini.
Sudah bekukan 730 akaun bank
Setakat ini, seramai lapan pegawai kerajaan dari agensi penguatkuasa sudah ditahan dan sedang disiasat kerana disyaki memberi perlindungan kepada geng ‘Macau Scam’. Malah, SPRM juga turut menyita beberapa buah kenderaan termasuk kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi.
Setakat ini seramai 11 rakyat tempatan dan seorang warga China ditahan dan dalam siasatan. Sebanyak 23 kenderaan mewah dirampas yang mana pada kami ini adalah hasil daripada kegiatan haram yang dimiliki pihak terbabit dalam penipuan, antara kenderaan mewah itu ialah Bentley, Mustang, Rolls Royce, Ferrari, Lamborghini, Porsche, GTR, dan beberapa motosikal berkuasa besar.
Setakat ini, SPRM sudah membekukan 730 akaun bank membabitkan RM80 juta.
SPRM juga sudah menyenaraikan beberapa nama selebriti untuk hadir bagi memberi keterangan dan bantu siasatan kes ini.
Sumber: Harian Metro