
Setiap individu mempunyai bahagian tertentu pada diri yang membuatkan mereka berasa insecure atau kurang yakin, meskipun perkara tersebut mungkin langsung tidak dianggap sebagai kekurangan oleh orang lain.
Begitu juga dengan pelakon, Daniel Fong yang mengakui pernah berasa insecure terhadap bentuk bibirnya, terutama apabila melihat wajah sendiri muncul di kaca televisyen.
Artikel Berkaitan: POV XTRA: ‘Mungkin Satu Hari Nanti Saya Cucuk’ – Daniel Fong Terbuka Soal Botox
Artikel Berkaitan: Jadi Anak Tunggal Rasa Kesepian? Daniel Fong Syukur Tak Perlu Berebut Kasih Sayang Ibu Bapa
Insecure dengan diri sendiri di skrin
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain di fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk kita melihat sesuatu perkara dari sudut yang berbeza.
Bagi edisi POV XTRA kali ini, Daniel berkata perasaan tersebut sudah lama menghantuinya sehingga dia berasa pelik setiap kali menonton semula lakonannya di skrin.
Saya kadang-kadang rasa insecure dengan bibir saya. Saya rasa pelik apabila melihat diri sendiri dekat skrin.
Tapi perkara yang melucukan, pernah ada seorang pelakon beritahu bahawa dia suka bibir saya.
Pujian tersebut membuatkan Daniel mula sedar sesuatu yang dianggap sebagai kekurangan oleh seseorang mungkin sebenarnya dilihat sebagai keistimewaan oleh individu lain.
Saya rasa pelik sebab benda yang saya paling tak suka, orang lain suka pula.
Jadi mungkin itu psikologi kita. Apa yang kita rasa tidak seronok tentang diri sendiri, orang lain mungkin akan melihatnya secara berbeza.
Meragui kemampuan bakat lakonan sendiri
Bagaimanapun, rasa kurang yakin itu bukan sahaja melibatkan penampilan fizikal, malah pernah membuatkan Daniel meragui kemampuan dan kelayakannya sebagai seorang pelakon.
Malah, dia pernah mempersoalkan keputusan pihak produksi yang memilihnya untuk membintangi sesebuah drama kerana merasakan dirinya tidak cukup layak untuk diberikan watak tersebut.
Saya sampai pernah terfikir, kenapa pihak produksi mahu ambil saya berlakon dalam drama ini?
Saya rasa saya tidak layak untuk dapatkan watak itu. Tetapi mungkin mereka nampak sesuatu dalam diri saya yang saya sendiri tidak nampak.
Selepas melalui proses menerima dan memahami diri sendiri, Daniel mengakui perasaan kurang yakin terhadap bibirnya semakin berkurangan.
Kini, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan pandangan orang terhadap rupa parasnya dan lebih mengutamakan kebahagiaan serta keyakinan yang datang dari dalam diri.
Dah lama saya rasa insecure dengan bibir saya, tetapi sekarang keadaan semakin baik.
Sekarang saya tidak terlalu kisah bagaimana rupa saya. Pada akhirnya, selagi kita bahagia, perkara itu boleh dilihat pada wajah.
Keindahan dari dalam diri akan menyerlah dan membuatkan seseorang itu kelihatan lebih bersinar.








