Pencipta kandungan yang juga pramugara yang cukup mesra menyantuni para jemaah haji dikenali sebagai Hafeez Al-Bukhary Zulkefly kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas kesihatannya semakin merosot akibat penyakit barah yang dihidapi.

Artikel Berkaitan: Ustazah Asma’ Harun Sedih Ziarah Kanak-Kanak Hidap Barah Saraf – ‘Kedua Mata Putih Tersembul Keluar’

Kesihatan merosot

Perkhabaran menyayat hati itu dikongsikan sepupunya dikenali sebagai Hani Mishan menerusi hantaran di Threads yang memaklumkan Hafeez kini berada dalam fasa yang sangat membimbangkan.

Menurut perkongsian tersebut, Hafeez telah dibawa pulang dari hospital ke kampung halamannya di Perak bagi membolehkan dia berada di sisi keluarga ketika melalui saat-saat sukar.

Malah, ahli keluarga turut memohon orang ramai agar terus mendoakan kesembuhan Hafeez supaya diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusannya.

Nama Hafeez sebelum ini cukup dikenali di media sosial menerusi perkongsiannya sebagai kru kabin Malaysia Airlines (MAS), khususnya ketika melayani dan membantu jemaah haji serta umrah sepanjang penerbangan ke Tanah Suci.

Sikapnya yang sentiasa murah dengan senyuman, mesra serta ikhlas berkhidmat menjadikan Hafeez antara figura media sosial yang disenangi ramai, selain memiliki ratusan ribu pengikut di pelbagai platform.

Selain berkongsi rutin kerjayanya sebagai pramugara, Hafeez juga sering memuat naik momen sepanjang berada di Mekah dan Madinah termasuk pengisian kerohanian yang memberi inspirasi kepada para pengikutnya.

Perjuangan Hafeez melawan penyakit barah mula mendapat perhatian sejak tahun 2025 apabila dia berkongsi gambar-gambar menjalani rawatan kemoterapi di hospital.

Sejak itu, pengikutnya dapat melihat perubahan fizikal yang ketara apabila berat badannya semakin susut akibat kesan rawatan.

Malah, sejak beberapa minggu lalu, Hafeez turut dilihat menggunakan kerusi roda kerana keadaan tubuhnya yang semakin lemah.

Sumber: Threads, Instagram