berita

Ustazah Asma’ Harun Sedih Ziarah Kanak-Kanak Hidap Barah Saraf – ‘Kedua Mata Putih Tersembul Keluar’

August 29th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Ustazah Asma' Jumpa Adik Sofia

Penceramah bebas, Ustazah Asma’ Harun berkongsi detik sedihnya ketika menziarahi seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang buta akibat barah saraf.

Artikel Berkaitan: ‘Dia Meninggalkan Dunia Glamour, Dunia Nyanyian Sedikit Demi Sedikit’ – Ustazah Asma’ Harun

‘Nak jumpa ustazah’

Ustazah Asma' Jumpa Sofia

Menerusi hantaran dimuat naiknya di Facebook, Ustazah Asma’ memaklumkan kanak-kanak yang dikenali sebagai Afrina Sofia itu sudah sekian lama menyimpan hasrat untuk bertemu dengannya.

Namun begitu apa yang meruntunkan hati Ustazah Asma’ apabila Sofia sudah tidak boleh melihat lagi selepas menghidap penyakit barah saraf sejak tiga tahun lalu.

Allahuakhbar, petang yang sarat dengan deraian air mata. Ziarah Anakanda Afina Sofia yang telah buta kedua mata kerana kanser saraf.

Mama Sofia cerita bahawa akhir-akhir ni Sofia kerap bagitahu nak jumpa ustazah, yang dimaksudkannya ialah saya.

Sebab itu bila saya masuk sahaja ke rumah ini tadi semua berkata, ‘Akhirnya Sofia dapat jumpa ustazah, ustazah dah datang ni.’ Tapi sofia sudah tak boleh melihat ustazah lagi, kedua matanya telah buta, bulan lepas masih boleh melihat lagi.

Sebaik melihat anakanda Sofia, lidah terus jadi kelu dan air mata tidak dapat dibendung.

Lalu si ibu mula bercerita, ia bermula pada hujung tahun 2020, ketika itu umur Sofia 6 tahun, dan kini umurnya 9 tahun. Sudah 3 tahun Sofia diuji kanser saraf yang menunggu saat pergi, tiada lagi ubat atau rawatan untuk tahap dan kanser jenis ini.

Ustazah Asma’ turut berkongsi bahawa Sofia sudah tidak berupaya untuk mengeluarkan air mata lagi namun akan berasa pedih apabila dia menangis.

Sofia tak berhenti mengesat matanya, rupanya itu yang terjadi bila dia menangis tapi air mata tidak boleh keluar lagi, lalu matanya menjadi pedih.

Daripada tampalan penutup mata yang terselak, saya boleh lihat kedua mata putih Sofia telah pun tersembul keluar, kelopak mata tak boleh menutupi lagi. Sebab itu ditutup dengan kapas kerana pedih bila terkena udara.

Saya tarik nafas dalam dan mula berbicara, ‘Sofia, insya-Allah Sofia akan sembuh dan boleh melihat semula, kita semua mendoakan buat Sofia, insya-Allah jika Allah ingin berikan kesembuhan Allah Maha Berkuasa.’

‘Sofia berdosa dengan mama’

Ustazah Asma' Jumpa Sofia

Dalam pada itu, Ustazah Asma’ memaklumkan bahawa situasi bertambah pilu tatkala kanak-kanak kecil itu bertanyakan tentang dosa.

Menurut Sofia, adakah dia akan dimasukkan ke dalam syurga kerana pernah terdetik dalam hatinya rasa marah terhadap ibu ketika lambat melakukan sesuatu.

Ustazah, Sofia ada dosa, Sofia dosa dengan mama sebab bila Sofia tak nampak ni kadang-kadang Sofia ada marah mama bila lambat.

Sofia boleh ke masuk Syurga ? Kalau mama maafkan Sofia, bolehlah kan masuk Syurga?

Ustazah Asma’ terus menenangkan dengan memberi semangat agar anak kecil itu tidak terus-menerus menyalahkan diri kerana dosa yang lalu.

Sementara itu, ibu kepada Sofia memaklumkan kepada Ustazah Asma’ bahawa pihak hospital menjangkakan Sofia hanya mampu bertahan kira-kira dua bulan sahaja ketika mendapatkan rawatan.

Namun, disebabkan oleh semangat yang ada dalam diri Sofia kini dia masih lagi bertahan selama hampir setahun.

Mama Sofia sambung bercerita, ‘Ustazah, ketika di ward ada enam kanak-kanak yang sama (sakit) dengan Sofia, semua dah pergi  (meninggal dunia) kecuali dua orang termasuk Sofia.

Doktor sebenarnya jangkakan Sofia hanya ada masa dua bulan selepas chemo terakhir, tapi sekarang dah lebih setahun, Sofia ni sangat kuat dan matang, bahkan lebih matang daripada kakaknya.

Di akhir hantarannya itu, Ustazah Asma’ menasihati para pengikutnya agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT serta mendoakan agar Sofia segera sembuh dan tabah menghadapi ujian.

Posting Ustazah Asma’

Sumber: Facebook 

 

SKIP THIS AD ×