berita

Program Bicara Khas Bersama Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia

May 8th, 2023 | by Wani
Kini Trending

‘Eksklusif Bersama Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia’ adalah sebuah program bicara khas yang membincangkan isu-isu kepentingan ASEAN. Selain itu, ianya juga suatu program yang menyentuh tentang gaya hidup tokoh politik yang popular dalam kalangan rakyat serta disegani.

Negara jiran

Malaysia dan Indonesia merupakan negara jiran yang berdekatan. Dua negara ini memiliki persamaan dari segi rumpun bahasa serta budaya, adat resam, agama dan seni bina.

Presiden Republik Indonesia yang ke-7 iaitu Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, memikul tanggungjawab dan amanah yang besar apabila terpilih sebagai Pengerusi ASEAN 2023 pada awal Januari lalu. Walau bagaimanapun, beliau merupakan Presiden Indonesia pertama tanpa latar belakang yang berpolitik atau ketenteraan elit.

Selama 30 minit, bersama hos, Fiza Sabjahan telah diberikan peluang untuk menjalani rakaman di Istana Merdeka di Jakarta. Menerusi program ini, Joko Widodo telah memilih Pasar Tanah Abang sebagai lokasi penggambaran kedua kerana ianya merupakan pusat pelancongan yang terkenal dengan barangan tekstil. Seterusnya, pusat beli-belah pertama di Indonesia, Sarinah Mall, yang telah dinaiktarafkan untuk pengeluaran barangan tempatan.

Selain perkongsian mengenai pandangan beliau terhadap hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia, beliau juga menengahkan tentang topik-topik yang menjadi kepentingan ASEAN. Antaranya adalah seperti isu maritim dan pertikaian sempadan, pergolakan politik di Myanmar, pemulihan ekonomi dan keselamatan makanan demi menjamin kestabilan politik, keselamatan dan ekonomi.

Di sebalik kewibawaan seorang tokoh Indonesia, beliau berkongsi tentang hobi dan minatnya. Joko Widodo memaklumkan bahawa dirinya berminat membawa motor berkuasa tinggi, bersukan seperti futsal dan badminton, menonton filem serta memelihara haiwan.

‘Eksklusif Bersama Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia’ ini bakal disiarkan pada 9 Mei 2023, Selasa, pukul 9:00 malam hanya di TV3. Selain itu, program ini juga bersiaran secara strim definisi tinggi di Tonton.

SKIP THIS AD ×