Malaysia merupakan antara negara yang mendapat jolokan ‘syurga makanan’ kerana terkenal dengan kepelbagaian dan keunikan juadah masakan, malah trend kini menunjukkan ramai pembeli sanggup beratur panjang demi mendapatkan makanan viral.

Artikel Berkaitan: Bawang Putih Disifatkan Penawar Semula Jadi, Beri Manfaat Kepada Kesihatan Sejak Dari Dahulu

Artikel Berkaitan: Air Mineral Atau Air Minuman Biasa: Mana Lebih Sesuai Untuk Kesihatan Anda?

Tinggi kalori & gula

Bagaimanapun, terdapat beberapa jenis makanan dan minuman yang mempunyai kalori serta gula yang tinggi sehingga dipercayai mampu memberi kesan terhadap kesihatan.

Justeru, Public Health Malaysia menerusi hantarannya di laman Facebook, berkongsi lima juadah viral dengan kandungan kalori dan gula.

1. Nasi lemak tomahawk

Nasi lemak adalah antara makanan popular di Malaysia, manakala tomahawk pula adalah potongan daging bersaiz besar dari bahagian ribeye yang disertakan bersama tulang rusuk.

Untuk info, makanan ini mempunyai kalori yang sangat tinggi, iaitu boleh mencecah sebanyak 1500 kcal hingga 2000 kcal meskipun kandungan gulanya rendah.

2. Pistachio kunafa

Kunafa adalah sejenis pencuci mulut yang terkenal di negara-negara Timur Tengah. Kombinasi rasa rangup dari kunafa dan lemak manis dari kacang pistachio membuatkan ia menjadi antara makanan viral di negara ini.

Namun, pencuci mulut kegemaran ramai ini mengandungi gula dan kalori yang tinggi, ia boleh mencecah 700 kcal hingga 1000 kcal.

3. ‘Cake in bowl’

Cake in bowl merupakan pencuci mulut berkalori tinggi, dengan anggaran antara 500 kcal hingga 900 kcal bagi setiap hidangan bergantung kepada jenis topping digunakan, selain mengandungi gula yang banyak.

4. Ayam gepuk

Ayam gepuk merupakan hidangan ayam digoreng garing dan dipadankan dengan sambal pedas yang menyelerakan.

Kandungan kalori bagi makanan kegemaran rakyat Malaysia ini pula sederhana hingga tinggi, iaitu diantara 450 kcal hingga 700 kcal, bergantung pada saiz hidangan yang dipilih.

Bagaimanapun, jumlah gula yang terdapat dalam makanan ini adalah rendah.

5. Air matcha

Air matcha kini menjadi minuman kesukaan ramai kerana terkenal dengan rasa teh hijau yang unik.

Minuman ini mempunyai kalori sederhana antara 180 kcal hingga 350 kcal, bergantung pada saiz dan bahan yang digunakan.

Namun, ia juga mengandungi kandungan gula yang tinggi kerana penggunaan gula tambahan, susu pekat atau susu full cream.

Susulan itu, orang ramai diingatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan atau minuman yang boleh memudaratkan tubuh badan, terutamanya jika diambil secara kerap berikutan angka obesiti yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.

Sumber: FB Public Health Malaysia