berita

Raja Azura Mencari Pelawak Wanita Sebagai Pelapis

January 9th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Bermula 19 Januari ini pihak TV3 bakal mengadakan ujibakat bagi mencari individu yang pandai berlawak dan menyanyi untuk turut serta dalam program terbaru mereka yang dikenali sebagai ‘Bintang Mencari Bintang.’

Secara umumnya program ‘Bintang Mencari Bintang’ ini bakal dimeriahkan dengan enam orang pelawak terkenal tanah air iaitu Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Kumpulan Senario (Wahid, Mazlan, Azlee), Raja Azura, Sabri Yunus serta Zizan.

Memandangkan Raja Azura adalah satu-satunya sifu wanita di dalam program ini, jadi dirinya menyifatkan tugasan yang diberikan adalah satu cabaran yang harus digalas dengan baik dan mengambil peluang yang ada untuk mencari serta mengasah bakat peserta yang terdiri daripada golongan wanita.

“Sebenarnya tidak ramai wanita yang boleh berlawak dan sekarang ini saya boleh katakan tak ada atau kurang pelawak wanita di Malaysia. Kalau ada semuanya bermula daripada pelakon dan setelah itu baru beralih kearah bidang pelawak.”

“Kalau boleh saya nak cari peserta wanita yang berilmu. Biar apabila bercakap dan berlawak nanti dia tahu fakta yang betul dan bukan melawak kosong.”

Mengulas lebih lanjut mengenai program realiti ini, Raja Azura memaklumkan yang dia ingin mencari seorang peserta wanita yang mampu menjadi pelapis dirinya pada masa akan datang dan peserta tersebut mestilah versatil.

“Saya suka program macam ini sebab peluang peserta yang masuk ke dalam program ‘Bintang Mencari Bintang’ ini luas. Mereka bukan sahaja boleh masuk ke bidang lakonan, malah turut boleh menjadi penyampai radio serta penyanyi.”

“Menerusi program ini, saya ingin turunkan segala ilmu dan pengalaman yang ada kepada anak didik saya dan kalau boleh biar dia menjadi pelapis saya di masa akan datang.”

Memandangkan Raja Azura kini sudah jarang berlakon dan setiap hari terikat dengan komitmen sebagai penyampai radio, jadi timbul persoalan dikalangan pihak media tidakkah dirinya rindu untuk kembali berlakon seperti dahulu?

“Kali terakhir saya berlakon adalah lima tahun lepas. Sebenarnya bukan tak nak berlakon, tetapi bayarannya rendah. Lagipun sekarang ini saya bekerja untuk mencari rezeki untuk anak-anak dan bukannya untuk mengejar populariti semata-mata. Zaman nak mencari nama dan mengejar popular sudah berakhir,” komen Raja Azura mengenai kerjaya lakonannya.

SKIP THIS AD ×