berita

‘Ramai Ibu Bapa Terpedaya Hujah Agamawan Antivaksin’

February 1st, 2019 | by Amat Larbsib
Kesihatan & Hidup Aktif

Sudah banyak kempen kesedaran terhadap kepentingan vaksin buat bayi dijalankan namun, masih ada segelintir golongan tidak hiraukan kepentingannya. Malah, isu antivaksin ini bukanlah sesuatu baru dalam masyarakat kita.

Prof Madya Dr Malina Osman dari Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi menerusi laporan MalaysiaKini menyifatkan hujahan agama mengenai keburukan vaksin adalah antara punca ramai ibu bapa menolak pengambilan vaksin untuk kesihatan anak mereka.

Masyarakat memandang keburukan vaksin

Prof Madya Dr Malina Osman menyarankan kepada semua golongan ibu bapa agar tidak termakan dengan hujahan golongan agamawan dan penjual produk-produk alternatif yang tidak ada ilmu dalam bidang perubatan.

Tegasnya lagi, tindakan dan pemikiran ibu bapa ini juga akan menyukarkan tugas kerajaan menangani kes penyakit kerintangan vaksin yang direkod meningkat saban tahun.

Ramai ibu bapa tertipu dengan hujah antivaksin oleh golongan berpendidikan namun bukan daripada bidang perubatan, mereka ini datang dari kepelbagaian latar belakang pengetahuan yang ditimba di luar dan dalam negara menyebabkan fakta-fakta kritikal berkaitan isu perubatan disalah tafsir membuatkan masyarakat memandang vaksin membawa keburukan.

Penyebaran berita palsu terhadap vaksin

Ini termasuklah hujah dipakai golongan penjual tidak bertauliah yang mempopularkan produk alternatif vaksin di pasaran, dan tak dinafikan di situ wujud unsur-unsur perniagaan yang mengutamakan keuntungan disandarkan atas nama kesihatan. Jika kita tengok di sebuah negara jiran sebelum ini, wujud sindiket penjualan vaksin palsu, jadi kita perlu ambil iktibar.

Dunia kini dapat dilihat kewujudan beberapa individu menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan berita palsu mengenai keburukan vaksin kepada masyarakat.

Malah, golongan antivaksin ini cenderung menggunakan hujahan agama seperti isu penggunaan bahan tidak halal untuk tidak mengalakan ibu bapa membawa anak mereka bertemu doktor. Sedangkan isu ini telah lama diatasi menggunakan teknik kejuruteraan sel penghasilan vaksin tanpa penglibatan haiwan yang haram di sisi syarak.

Tanpa asas bukti penyelidikan yang kukuh

Mereka cenderung mengklasifikasikan sebahagian besar bahan digunakan dalam vaksin berasal daripada bahan bertoksik dan haiwan yang haram di sisi syarak, walhal anggapan itu tanpa asas bukti penyelidikan yang kukuh.

Kesemua vaksin yang dihasilkan perlu melalui sistem penghasilan yang ketat serta didokumenkan setiap proses, dos dan kesan sampingannya. Ujian klinikal melibatkan ribuan responden dari pelbagai kawasan geografi dan ia terbukti menghasilkan antibodi melawan penyakit berbahaya dengan izin Tuhan.

Tambahnya lagi, pendekatan terhadap perubatan bagi penganut beragama Islam perlulah menepati kaedah ditetapkan syarak dan antaranya ialah mendahulukan kepentingan nyawa dimana penggunaan vaksin ini terbukti melawan penyakit berbahaya seperti campak, batuk kokol, tetanus dan penyakit kejang urat.

Sumber: MalaysiaKini