Setelah ditayangkan secara rasmi mulai 19 April lalu menerusi laman Youtube TV3 dan di siaran TV3, rancangan realiti “Lagu Cinta Kita” berjaya menarik perhatian penonton. Diadaptasi daripada program popular Vietnam iaitu ‘Love At First Song’, Lagu Cinta Kita ini merupakan sebuah program yang menggabungkan pertandingan nyanyian dan “dating”, di mana idea asal format ini adalah dari CJ ENM, sebuah syarikat media dan penyiaran Korea Selatan.
Selain perlu memiliki bakat nyanyian dan vokal yang bagus, seorang penyanyi juga perlu bijak mencari keserasian jika bergandingan dengan pasangan duet ketika membuat persembahan. 16 peserta yang telah terpilih dari ujibakat akan dibahagikan kepada 8 pasangan. Lagu Cinta Kita akan diacarakan oleh Nana Mahazan, manakala juri tetap ialah Scha Al-Yahya dan Hael Husaini. Selain mengundang juri jemputan, program itu turut melantik Ajai sebagai penasihat vokal.
Konsep Lagu Cinta Kita
Di konsert pertama, peserta perlu menjayakan misi utama mereka iaitu membuat persembahan duet di hadapan juri dan penonton. Menariknya, peserta langsung tidak mengetahui siapakah pasangan duet mereka. Mereka bergandingan berdasarkan lagu pilihan sendiri.
Pada episod kedua, keputusan persembahan setiap pasangan terletak kepada jumlah markah undian dari panel juri sebanyak 50%, manakala lagi 50% undian pula oleh juri awam. Namun, pada episod seterusnya, undian adalah 100% dari panel juri.
Selepas berjaya melepasi konsert pertama, setiap pasangan perlu melengkapkan segala misi yang diberikan dalam episod seterusnya iaitu ‘Camp Love Song’, dan membuat persiapan untuk persembahan seterusnya. Setiap pasangan juga akan diberi peluang untuk menukar pasangan mereka (re-matching), dengan syarat pasangan mereka harus bersetuju dengan penukaran tersebut.
Pada konsert minggu seterusnya, setiap pasangan perlu membuat persembahan mengikut tema OST yang diberi seperti drama, filem atau muzikal. Mereka juga perlu melakonkan semula watak-watak pasangan popular, dan pelbagai lagi. Bagi pasangan dengan markah terendah, mereka akan disingkirkan.
Nak cari yang tak over – Scha Alyahya
Juri Lagu Cinta Kita, Scha Al Yahya memberitahu kepad XTRA, antara kriteria yang dicari dalam program terbaru ini adalah keserasian yang semulajadi dan tidak dibuat-buat.
Kalau boleh saya tak mahu chemistry di antara pasangan duet di pentas itu nanti seolah macam dibuat-buat. Dinamik persembahan harus seimbang. Saya ambil contoh macam Syamel dan Ernie Zakri. Tanpa perlu pegang tangan atau usap, penonton dapat ‘rasa’ lirik lagu yang disampaikan.
Persembahan duet itu nanti juga perlu bersesuaian dengan adab dan budaya di negara kita. Tidak perlu terlalu over untuk blend keserasiaan.
Sementara itu, Hael Husaini menegaskan mereka mencari peserta yang matang dari pelbagai sudut dan kuat mental serta fizikal bagi mengharungi program realiti ini.
Wang tunai RM50,000
Pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 serta hadiah eksklusif daripada penaja. Jangan ketinggalan untuk saksikan Lagu Cinta Kita setiap Jumaat & Sabtu di laman YouTube TV3 Malaysia pada pukul 9.00 malam. Manakala bagi siaran di TV3 pula, program ini akan disiarkan pada setiap hari Ahad, pukul 3.00 petang.