Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Dini Schatzmann selamat bergelar suami kepada aktres dan penyanyi, Janna Nick kira-kira jam 8.35 pagi Sabtu.
Artikel Berkaitan: Janna Nick & Dini Schatzmann Sah Suami Isteri, RM2,703 Jadi Simbolik Tarikh Perkenalan
‘Terpaling bahagia’
Bersyukur ke atas hadrat Ilahi, Dini atau nama sebenarnya Dini Azan Schatzmann, 28, akui teruja untuk memulakan fasa perjalanan yang baharu selepas bergelar suami.
Malah, aktor berdarah kacukan Pulau Pinang dan Switzerland itu berharap setiap langkah mereka dalam melayari bahtera rumah tangga diberkati.
Alhamdulillah, rasa terpaling bahagia, maksimum. Rasa lega jua, majlis pernikahan ini sudah selesai dan berjalan lancar. Maka bermulalah perjalanan baharu kami sebagai suami isteri.
Kami memang merancang perkahwinan yang bersifat peribadi dan privasi. Lebih bermakna untuk keluarga kami.
This is a once in a lifetime moment in our life (ini adalah momen yang berlaku sekali seumur hidup dalam hidup kami). Kami mahu jadikan majlis ini sesuatu yang indah sebagai memori kami berdua.
Terdahulu, Dini dan Janna selamat melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di sebuah Masjid terletak di pusat peranginan popular, Langkawi, pagi Sabtu.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Janna sendiri, Muner bin Abdullah bersaksikan Pengerusi Masjid Aisyah, Haji Othman Yahya serta sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri dan Amar Fikri.
Dalam majlis serba indah yang berlangsung di Masjid Aisyah, Dini turut menyerahkan mas kahwin RM2,703 kepada Janna dan seutas rantai emas.
Jumlah mas kahwin tersebut adalah simbolik tarikh perkenalan mereka pada 27 Mac 2019. Majlis yang mendapat sentuhan rekaan The Calla itu dihadiri oleh ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat karib pasangan dua sejoli tersebut.