berita

Raya Penuh Sederhana Nadiya Nisaa

August 13th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Anugerah Syawal-132

Nama dan bakat Nadiya Nisaa nampaknya semakin mendapat perhatian umum terutamanya produksi filem dan drama tempatan.

Walaupun telah lama berkecimpung dalam dunia lakonan, namun nama Nadiya hanya mula meniti di bibir-bibir peminat selepas melakonkan watak Ain Hawani dalam drama diminati ramai, Adam & Hawa.

Seperti selebriti yang lain, Nadiya juga tidak terlepas daripada dilanda kesibukan setiap kali menjelang Hari Lebaran.

Namun pelakon yang juga seorang isteri dan ibu ini lebih sibuk menguruskan persiapan kahwin salah seorang ahli keluarganya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Raya tahun ini biasa sahaja. Tak buat persiapan sangat sebab saya sibuk uruskan majlis kahwin kakak saya. Majlis itu akan diadakan pada 31 Ogos depan. Kami ada lima orang adik beradik dan saya adalah anak kedua, jadi kakak memang mengharapkan saya membantunya.

Baju raya saya dan suami tahun ni pun cuma dua helai sahaja, warna biru dan ungu. Itu pun baju yang akan dipakai untuk majlis kahwin kakak saya nanti.

Walaupun begitu, Nadiya telah mengatur rancangan untuk meraikan sambutan Hari Raya di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bersama keluarga tercinta.

Dalam masa yang sama, Nadiya yang ditemui ketika majlis Anugerah Syawal TV3 baru-baru ini meluahkan rasa gementarnya untuk menghidupkan kembali watak Ain Hawani di dalam filem sekuel Adam & Hawa The Movie.

drama-adam-hawa

Kisah cinta Ain dan Adam bakal masuk pawagam

Menurut Nadiya, cabaran menjadi Ain Hawani buat kali kedua memang agak sukar kerana watak itu telah lama dibuang sebaik sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri Adam & Hawa beberapa ketika dulu.

Saya dah lama buang karakter tu. Jadi saya gementar dan risau nak lakonkan semula watak Ain. Saya kena tonton semula drama Adam & Hawa. Saya difahamkan jalan cerita untuk filem ini adalah kesinambungan daripada drama bersirinya.

Dalam perkembangan lain, Nadiya juga akan memeriahkan sambutan Aidilfitri anda pada Raya keenam nanti dengan membintangi telemovie khas berjudul Baju Raya Kain Perca jam 4 petang di TV3.

SKIP THIS AD ×