berita

Raysha Rizrose Sah Jadi Isteri Pelumba Kereta F3

February 22nd, 2023 | by Zulaikha
Kini Trending

Selepas 10 tahun menjalinkan hubungan cinta, pelakon Raysha Rizrose akhirnya sah bergelar isteri kepada usahawan dan pelumba kereta Formula 3, Nabil Jeffri, pada jam 8.52 malam.

Artikel Berkaitan: Sudah Bertunang 22 Disember Lalu, Raysha Rizrose Bakal Tamat Zaman Bujang Tidak Lama Lagi

Wang hantaran rahsia

Dalam majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka, pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Fariz Arshad, dengan disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi.

Nabil atau nama sebenarnya Muhammad Nabil Jan Al Jeffri menyerahkan mas kahwin RM2,222 bersama tujuh dulang hantaran berbalas jumlah sama. Bagaimanapun, wang hantaran tidak dinyatakan atas permintaan keluarga.

Mula kenal di Twitter

Menawan mengenakan persalinan rona putih rekaan Teh Firdaus dan ditatarias Syed Faizal Syed Noh, Raysha atau nama lengkapnya Farza Naquraisha Mohd Fariz bersyukur segala perancangan diatur berjalan lancar.

Syukur segala-galanya yang dirancang salama ini dipermudahkan.

Saya dengan kerendahan hati amat terharu kerana sejak mengumumkan berita pertunangan, banyak mesej dan doa yang baik-baik dipanjangkan ramai. Saya doakan kebaikan sama berbalik kepada semua.

Semoga permulaan fasa baharu membina masjid ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah.

Bercerita mengenai kisah cinta yang bermula pada tahun 2013, adik kepada Uqasha Senrose dan Nelydia Senrose ini mendedahkan mereka berkenalan di laman Twitter.

Kami kenal dari tahun 2013 menerusi akaun Twitter. Ketika itu saya masih menuntut di sekolah menengah.

Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami.

Dalam pada itu, pelakon filem Seandainya Kau Ada itu turut berkongsi tarikh lamaran Nabil yang terpateri pada 16 Ogos 2022.

Momen dan detik itu masih berbekas di hati. Ini kerana lokasi lamaran berkenaan terjadi di tempat sama dia melamar saya sebagai kekasih, iaitu di sebuah lokasi di Subang Jaya, Selangor kira-kira sedekad lalu.

Terdahulu, pasangan ini melangsungkan pertunangan secara tertutup pada 22 Disember, tahun lalu.

Namun, Raysha dan Nabil Jeffri hanya berkongsi dan mendedahkan cerita pertunangan mereka di media sosial pada 14 Februari lalu.

Tanggal 26 Februari ini, mereka akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi juga di lokasi sama majlis pernikahan berlangsung.

SKIP THIS AD ×