
Tiba-tiba menghilang daripada dunia hiburan dikala nama di puncak populariti, penyanyi Reedzwann akhirnya membuka cerita apabila mengakui dia sebenarnya sedang melalui fasa paling getir dalam hidup.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Masih Trauma & Terngiang-Ngiang Dengan Apa Saya Nampak’ – Reedzwann
Asingkan diri

Reedzwann berkata, satu insiden ngeri yang terjadi sebelum ini telah memberi kesan mendalam terhadap emosi dan mentalnya lantas mendorong dia membuat keputusan drastik.
Ramai bertanya ke mana saya menghilang dan kenapa menyepi. Sebenarnya, saya pulang ke kampung di Perak, tinggal di rumah ibu bapa.
Untuk mencari semangat yang hilang, bukan sesuatu yang mudah selepas apa yang berlaku. Disebabkan itu, saya memilih untuk mengasingkan diri daripada orang ramai dan hanya duduk di kampung.
Ada ‘sakit’ yang sukar dijelaskan. Bukan sakit fizikal yang biasa dirawat di hospital. Saya sendiri tertanya-tanya kenapa jadi begitu.
Reedzwann berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Seloka Lebaran 2026 anjuran Rusa MVM Music yang berlangsung di ibu kota, pada Isnin.
Lebih menyakitkan, Reedzwann mendedahkan dia terpaksa berdepan dengan kata-kata kecaman yang melampau sehingga memberi kesan mendalam terhadap dirinya.
Apabila saya keluar, ada orang tanya ‘kenapa saya tidak mati?’ Soalan seperti itu benar-benar memberi kesan.
Kalau dilawan atau dijawab, keadaan menjadi lebih teruk. Walaupun ada juga yang menyokong dan memahami, namun kata-kata negatif itu lebih memberi kesan sehingga kata-kata semangat pun tidak lagi terasa.
Bercerita lanjut, pelantun lagu Tercipta Satu Senyuman itu turut berkongsi bahawa bukan hanya orang luar, malah ada dalam kalangan keluarga yang tidak memahami keadaannya ketika itu.
Lebih menyakitkan apabila bukan orang luar sahaja, malah ada juga dari kalangan keluarga yang tidak memahami. Saya rasa seperti tidak ada tempat untuk bersandar. Fasa itu adalah antara episod paling sukar dalam hidup.
Sepanjang tempoh mengasingkan diri, Reedzwann mengambil peluang untuk bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Tuhan sebagai cara untuk kembali bangkit.
Sebagai anak sulung, Reedzwann mengakui dia lebih selesa memendam dan menanggung segala kesulitan demi keluarga.
Saya rasa bertanggungjawab untuk menanggung segala kesusahan itu. Biar saya yang hadap, asalkan keluarga saya tenang. Itu pilihan saya.
Kini saya belajar untuk menerima dan reda. Dulu saya sukar menerima kata-kata bahawa ada orang lain yang lebih susah. Tetapi lama-kelamaan, saya faham bahawa mengeluh seolah-olah kita mempersoalkan takdir Tuhan.








