Tiga tahun lalu, satu tragedi telah menggemparkan negara apabila sebuah Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hangus dijilat api. Lebih menyedihkan, kejadian itu telah meragut 23 nyawa penuntut tahfiz berkenaan.
Artikel berkaitan: ‘Kami Sama-Sama Ke Pondok Hisap Ganja’ – Saksi Pendakwaan Kes Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah
Terbaru, mahkamah hari ini telah menjatuhkan hukuman terhadap remaja tersebut. Remaja berusia 19 tahun itu, dijatuhi hukuman penjara sehingga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Kronologi kes
Pada 28 Januari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah, memerintahkan remaja yang berusia 16 tahun ketika didakwa melakukan kesalahan berkenaan, membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang kini berusia 19 tahun. Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan seorang lagi individu yang seusia remaja itu, yang dituduh bersama-samanya tanpa dipanggil membela diri. Pada awalnya kedua-dua mereka dituduh secara bersama atas kesalahan membunuh namun pertuduhan tersebut dipinda susulan keputusan pada akhir kes pendakwaan.
Menurut pertuduhan, remaja tersebut bersama seorang lagi individu yang tidak dapat dikenal pasti, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz itu berlaku. Kejadiaan tersebut dipercayai berlaku di antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 September 2017. Pada ketika itu, tertuduh didakwa dengan 23 pertuduhan. Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Pesalah bawah 18 tahun
Mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati sebaliknya diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Manakala, di bawah Seksyen 94 akta yang sama, ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan denda atau pampasan seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.
Semasa prosedur berjalan, seramai 71 saksi dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut bermula 30 Mei 2018 yang lalu.
Jumpa tangki gas
Antara 71 saksi yang dipanggil untuk memberi penerangan semasa di peringkat pendakwaan ialah Pengarah (Bahagian Keselamatan Kebakaran) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Putrajaya, Edwin Galan Teruki. Beliau memberitahu mahkamah mengenai injap dua tangki gas yang ditemui di lokasi kebakaran di pusat tahfiz tersebut telah ditebuk.
Manakala, seorang lagi saksi iaitu pegawai sains di makmal siasatan kebakaran JPBM Kuala Lumpur, Yusnita Osman, memberitahu kesan petrol turut ditemui pada sampel yang diambil daripada bangunan yang terbakar itu. Sementara itu, remaja berkenaan dalam pembelaannya menafikan berada di perkarangan tahfiz ketika kejadian.
Seorang lagi saksi pembelaan, remaja berusia 19 tahun, memberitahu Mahkamah Tinggi yang dia bersama-sama tertuduh serta rakan-rakan lain menghisap ganja sebelum kebakaran berlaku. Saksi pembelaan ketiga itu berkata enam rakannya termasuk tertuduh, datang ke rumahnya dan mereka kemudian menunggang motosikal ke sebuah pondok di Taman Balak, Datuk Keramat, untuk menghisap ganja antara 1 dan 2 pagi pada 14 Sept 2017.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian & Sinar Harian