berita

Resipi Laksa Kuah Sardin Sangat Ekspress & Sedap!

January 12th, 2020 | by Amat Larbsib
MyResipi

Ada ketikanya tekak terasa nak makan laksa tapi menjadi agak sedikit rumit apabila terpaksa siang ikan dan carik-carik isi ikan. Makan masa pula tu nak buat kuah laksa.

Tetapi hanya menggunakan ikan sardin sebagai kuah laksa akan lebih memudahkan kerja masakan di dapur anda. Hanya memerlukan lebih kurang 30 minit bagi menyiapkan hidangan laksa kuah sardin yang sedap. Jom cuba!

Bahan yang perlu disediakan

Bahan-Bahan yang perlu anda sediakan bagi menyediakan kuah laksa ini adalah 1 tin besar ikan sardin (saya guna mackerel), asam keping, 3 sudu cili boh (ikutlah tahap kepedasan), daun kesum, belacan (kalau suka), sos ikan sikit bagi naikkan rasa, garam secukup rasa, limau kasturi dan akhir sekali sudah tentunya laksa basah.

Cara-caranya

Pertama sekali lenyekkan ikan sardin itu bersama sosnya atau guna blender pun boleh. Kemudian, tumiskan cili boh dan asam keping, masukkan ikan sardin yang sudah dilenyek bersama daun kesum ke dalam kuali.

Sukat air mengikut saiz tin sardin tadi dalam anggaran 3 atau 4. Kemudian, biarkan kuah masak dalam masa 20 hingga 25 minit.

Siap untuk dihidang!

Hidangan laksa kuah sardin siap untuk dihidangkan untuk keluarga dan juga tetamu yang hadir ke rumah anda. Jangan lupa perahkan limau kasturi untuk rasa sedikit masam. Kalau nak pedas lagi, hiriskan cili untuk dimakan bersama. Selamat mencuba!

Sumber: Food Viral MY