berita

Review Filem: Psiko Pencuri Hati Penuh Tanda Tanya

September 5th, 2013 | by Ai
Filem Tempatan

481842_529292223790430_1732223379_n

Membaca tajuknya sahaja pasti ramai yang beranggapan Psiko Pencuri Hati adalah sebuah filem romantik. Namun sangkaan anda sama sekali jauh meleset.

Ironinya, filem arahan Nam Ron ini merupakan sebuah karya bergenre ‘thriller’ yang menampilkan barisan pelakon berwibawa seperti Sharifah Amani, Bront Palarae dan Syed Hussein sebagai teraju utama.

Secara umumnya, Psiko Pencuri Hati mengisahkan tentang seorang penulis novel bernama O.Sidi (Bront Palarae) yang menggemari subjek ‘thriller’ di dalam setiap karyanya.

Akibat terlampau obses, jiwanya menjadi kacau dan dia mengambil masa yang lama untuk menyiapkan novel terbaru berjudul ‘Mangsa’.

Bront&Amirul8

Dalam pada Sidi menyiapkan novel tersebut, secara kebetulan ibu kota digemparkan dengan insiden pembunuhan bersiri yang sangat kejam di mana pembunuh tersebut merobek dan mengambil hati setiap mangsa.

Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, Sidi mengambil kesempatan mengkaji kes pembunuhan tersebut dengan lebih mendalam untuk memuatkan kisah benar di dalam bab terakhir novel Mangsa.

Namun begitu, Sidi yang turut menghidap penyakit Obsessive Compulsion Disorder (OCD) semakin dihantui oleh ketakutannya sendiri sehingga mengubahnya menjadi seorang yang psiko.

DSC_0882 (2)

Disebabkan tekanan yang melampau, rakan Sidi, Man (Amerul Affendi) telah mengajaknya bercuti ke sebuah pulau untuk mencari ilham dan menenangkan fikiran.

Takdir pula menemukan Sidi dengan sepasang suami isteri, Dr Khai (Syed Hussein) dan Wani (Sharifah Amani) yang sedang mengalami pergolakan rumah tangga.

Tanpa disangka, hubungan Sidi dan Wani menjadi rapat apabila Wani mendapat tahu bahawa Sidi adalah penulis novel ‘thriller’ kegemarannya.

Bront&Nani3

Suami mana yang tidak cemburu melihat isteri sendiri menjauhkan diri darinya namun mendekati lelaki lain? Disebabkan itu, Dr. Khai telah menyimpan dendam dan bertindak memarahi Wani.

Tidak berapa lama selepas itu, kesemua mereka dikejutkan dengan berita kematian isteri pemilik resort tempat mereka menginap.

Dr. Khai yang menyimpan dendam terhadap Sidi telah menuduh penulis novel tersebut membunuh Siti dan entah mengapa Sidi tidak mampu menafikannya.

DSC_1747

Adakah benar Sidi yang membunuh Siti dan mangsa-mangsa sebelumnya? Apa pula perasaan Wani setelah mengetahui orang yang mula disukainya adalah seorang pembunuh?

Dari pandangan peribadi penulis, filem ini bukan sebuah cerita biasa atau klisé yang sering dipertontonkan kepada khalayak ramai sebelum ini.

Meskipun jalan ceritanya penuh tanda tanya namun Psiko Pencuri Hati mengajar penonton untuk berfikir dengan lebih mendalam untuk menghayati keseluruhan plot.

Sein&Nani1

Ini kerana penonton mampu meneka siapakah pembunuh sebenar sekiranya mereka bijak merungkaikan satu persatu klu yang diberikan sejak dari awal tayangan.

Jadi bagi yang telah lama menantikan kemunculan filem melayu bergenre psiko thriller, apa kata anda serbu pawagam berdekatan mulai 5 September 2013 untuk menonton Psiko Pencuri Hati.

Sementara itu, jom layan dulu trailer filem berkenaan di bawah untuk memberi anda sedikit gambaran mengenai perasaan sebenar seorang psiko. Selamat menonton!

SKIP THIS AD ×