Pasangan pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim dan Maryam Younarae berkongsi pengalaman sebagai ibu bapa yang pernah menguji emosi mereka ketika berdepan kerenah anak sulung, Rina.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Maryam Durian Kimchi Terhibur Rina Tawar Diri Jadi Imam Di Sekolah, Cikgu Dedah Suka Baca Surah

Kerenah anak

Menerusi podcast Kopi Kids, Maryam mengimbas kembali satu kejadian berlaku ketika dia sedang sarat mengandung anak kedua dan pulang dari tempat kerja dalam keadaan keletihan.

Menurut Maryam, dia ketika itu meminta Ryzal memandikan Rina, namun anak mereka enggan menurut sehingga menyebabkan suaminya hilang sabar.

Ketika itu saya tengah sarat mengandung, balik kerja dalam keadaan penat. Jadi, saya minta suami mandikan Rina tetapi Rina tidak mahu dan agak degil.

Ryzal tak jadi mandikan, jadi saya yang mandikan Rina. Saya marah Ryzal sebab saya tengah mengandung, penat bekerja dan baru balik. Dia jadi serabut. Lepas itu, dia ambil Rina dan paksa mandi. Ada sedikit kekerasan.

Mengakui kejadian itu meninggalkan kesan mendalam, Ryzal berkata pengalaman berkenaan banyak mengajarnya mengenai realiti sebenar bergelar seorang bapa.

Itu yang memberi pengalaman kepada saya sebagai bapa. Sebelum berkahwin, saya pernah jaga anak orang dan adik kecil, jadi memang ada ciri-ciri seorang bapa.

Tetapi apabila ada anak sendiri, lain. Walaupun kita suka kanak-kanak, apabila menjaganya sendiri, berbeza kerana kita bersama anak 24 jam.

Saya pernah jaga Rina ketika dia berusia enam bulan. Dia meragam, bangun tidur, marah dan tidak mahu minum susu. Jadi, benda itu saya pendam lama. Apabila berdepan dengan anak yang degil, kemarahan itu akhirnya datang.

Bagaimanapun, Ryzal mengakui menyesal dengan tindakannya dan menyedari kemarahan terhadap anak bukan sesuatu yang wajar dilepaskan secara fizikal.

Kita kalau boleh memang tak mahu marah anak. Perkara seperti itu memberi pengalaman kepada saya apabila saya sedar, ‘Oh, aku sudah betul-betul melampaui batas’.

Bukan kita pukul atau tolak, tetapi kita pegang dia dengan keras. Perkara itu kalau boleh memang perlu dielakkan. Tiga bulan saya minta maaf.

Setahun selepas kejadian, Rina masih ingat. Dia cakap, ‘Tapi Appa marah Rina masa mandi’. Saya menangis. Dia pandang tempat lain dan saya menangis.

Saya ceritakan kepada Maryam saya menangis. Saya sayangkan anak saya, tetapi apabila dia masih ingat apa yang saya lakukan, itu yang membuatkan saya sedih. Itu membuatkan saya rasa perkara itu adalah satu kesilapan besar.

Sumber: Instagram