
Seorang lelaki warga Indonesia dihukum penjara 60 tahun dan 60 sebatan atas pertuduhan memperkosa anak kandungnya sehingga mangsa lahirkan bayi.
Mengaku bersalah rogol anak kandung
Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh yang berusia 56 tahun itu mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Mazuliana Abdul Rashid di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Susulan itu, mahkamah menetapkan hukuman 10 tahun penjara serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan, dengan kesemua hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditahan pada 23 Julai lalu.
Setiap pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta sebatan maksimum 10 kali sekiranya disabitkan kesalahan.
Malah laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan tertuduh merupakan bapa kandung kepada bayi perempuan yang dilahirkan oleh mangsa.
Tertuduh yang bekerja sebagai pemandu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak enam kali di sebuah unit kondominium di Taman Midah, Kuala Lumpur, dalam tempoh antara 2 Oktober 2021 hingga 30 Jun lalu.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Banusha Jegathesan memohon hukuman berat kerana tertuduh merupakan bapa kandung mangsa yang sepatutnya melindungi anaknya.
Mangsa yang kini berusia 19 tahun mengalami kemurungan melampau kerana kejadian itu berlaku berulang kali malah dia mempunyai niat untuk membunuh diri.
Bagaimanapun perkara itu berjaya dielakkan selepas nalurinya sebagai seorang ibu yang masih memikirkan anaknya yang kini berusia empat tahun.
Beliau turut memaklumkan tertuduh sebelum ini pernah didakwa atas dakwaan mencabul terhadap anak mangsa.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan telah menetap di Malaysia selama 43 tahun.
Sumber: Sinar Harian