Kemunculan penyanyi Datuk Seri Rossa pada pasca pandemik Covid-19 menerusi konsert sempena 25 tahun di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) ternyata tidak memadai untuk mengubati rindunya pada para peminat.
Susulan itu, penyanyi Datuk Seri Rossa kembali menerusi konsert Another Journey: The Beginning yang bakal dilangsungkan pada Julai tahun ini.
Artikel Berkaitan: Konsert Rossa ‘Full House’, Berbaloi Bayar Gaun Harga RM235,000
Artikel Berkaitan: Bakal Menggayakan Busana ‘Mewah’ Bernilai RM235k Untuk Konsert Esok, Rossa Tak Sabar Nak Hiburkan Peminat Di Malaysia
Ubati rindu
Rossa akui masih ada yang terbuku dan belum diluahkan saat konsert sempena 25 tahunnya pada November lalu.
Difahamkan, tiket konsert yang bakal berlangsung ini habis terjual dalam masa 24 jam oleh para peminatnya yang digelar sebagai Pecinta Rossa. Walau bagaimanapun, pihak penganjur sedia menambah satu malam lagi demi memenuhi permintaan peminat.
Akui banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum menambah satu lagi malam bagi konsert Another Journey: The Beginning, namun, pihak penganjur bersyukur dapat realisasikan hari tersebut pada 13 Julai hadapan.
Konsert ini merupakan siri persembahan ketiga dalam rangka Dream Festival Collaboration selepas konsert pertama yang menampilkan Nidji dan Budi Doremi serta Wali Band bersama Floor88 dalam siri Dream Festival Collaboration Vol. 2 menerima sambutan baik dari masyarakat.
Bersama bakat besar
Rossa meluahkan rasa terharu terhadap sambutan yang luar biasa daripada peminat terhadap konsert Another Journey: The Beginning yang dinanti ramai.
Tambah pelantun lagu ‘Ayat-Ayat Cinta’ itu, konsert yang bakal dilangsungkan ini merupakan konsert istimewa yang membawa menelusuri perjalanan 25 tahun kerjaya muziknya dan memperkenalkan lagu terbaru daripada album yang dilancarkan Februari lalu.
Album ini merangkumkan pelbagai emosi dan turun naik saya sebagai manusia sepanjang dunia berdepan Covid-19. Jika ingin tahu apa yang saya lalui sepanjang dua tahun yang menguji itu, datanglah ke konsert Another Journey: The Beginning.
Selain itu, konsert ini bakal menampilkan penyanyi muda, Rizky Febian pada hari pertama dan Mahalini Raharja untuk hari kedua, selain turut memperkenalkan bakat baharu, Zareef Sein.
Untuk kali pertama sepanjang 25 tahun berkarier, saya mengundang beberapa komposer muda berbakat besar untuk bekerjasama dalam pembikinan album ini.
Mahalini turut memberikan sentuhannya menerusi lagu ‘Lupakan Cinta’ dalam album buat konsert ini. Mahalini antara komposer serta penyanyi muda yang berbakat luar biasa.
Kemunculan dua penyanyi muda ini membuktikan industri muzik tidak ketandusan bakat baharu yang bakal membanggakan Malaysia dan Indonesia.
Another Journey: The Beginning bakal berlangsung pada 13 dan 14 Julai hadapan di Zepp Kuala Lumpur. Bagi pembelian tiket buat hari tambahan (13 Julai) bermula dari harga RM178 sehingga RM8,888 (Royal Box) yang boleh didapati menerusi ticket2u.com.my pada 26 Mei ini bermula jam 3:00 petang.