“Memang tak rugi layan konsert Rossa 25th Shining Years, malam tadi!”
Itu antara respons balas daripada peminat yang hadir ke Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi menonton persembahan penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa.
Artikel Berkaitan: Bakal Menggayakan Busana ‘Mewah’ Bernilai RM235k Untuk Konsert Esok, Rossa Tak Sabar Nak Hiburkan Peminat Di Malaysia
Peminat ‘sporting’
Sejurus usai konsert yang memakan masa hampir tiga jam, Rossa akui terharu dengan sambutan kira-kira 3,000 peminat yang membanjiri seluruh ruang dewan.
Full house! (penuh). Saya sangat gembira dengan kehadiran mereka (peminat) ke konsert saya.
Mereka ikut menyanyi bersama-sama ketika saya membuat persembahan di atas pentas dan itu membuatkan saya berasa sangat teruja.
Penyanyi berumur 44 tahun itu juga gembira apabila menerima sokongan ramai rakan artis dari Malaysia, bahkan ada yang sanggup ‘terbang’ dari Indonesia semata untuk dirinya.
Antara selebriti yang hadir ialah Cakra Khan, Datuk Amy Search, Shiha Zikir, Puteri Sarah Liyana, Tya Ariffin, Anna Jobling, Fasha Sandha dan Ifa Raziah.
Berduet atas pentas
Ditanya mengenai kehadiran Cakra yang merupakan rakan rapat, pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani menyatakan itu adalah kejutan kerana dia sama sekali tidak tahu-menahu.
Saya memang terkejut kerana tidak tahu dia (Cakra) akan datang. Apabila membaca nama rakan artis yang hadir pada skrin monitor, saya terbaca namanya.
Saya sangat gembira dengan kehadiran rakan-rakan artis pada malam ini. Terima kasih semua.
Baju dari Belanda
Dalam pada itu, pelantun lagu Hijrah Cinta merasakan pelaburan untuk memiliki busana bernilai RM235,000 yang merupakan sentuhan pereka fesyen terkenal Belanda, Iris Ven Herpen sangat ‘lumayan’ hasilnya.
Saya sanggup membelinya kerana mahu meraikan 25 tahun penglibatan saya dalam industri sebagai penyanyi. Kali ini saya mahu memberikan kelainan.
Pada segmen terakhir, Rossa merancakkan lagi konsert dengan memasukkan elemen muzik EDM menerusi lagu Pudar, Hey Ladies dan Sakura.
Selain menyanyikan lagu-lagu popularnya, Rossa turut menyampaikan lagu penyanyi tempatan seperti Janji Manismu (Datuk Aishah), Suci Dalam Debu (Iklim), Bukan Cinta Biasa (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Antara Anyer dan Jakarta (Datuk Shiela Majid).
Konsert yang dibawakan oleh Yayasan Prihatin Nasional itu juga diserikan dengan persembahan penyanyi Judika dan Hael Husaini.
Kredit Foto: Bangsawan Pictures