Penyanyi Madah Berhelah iaitu Ziana Zain telah sah bercerai dengan talak satu bersama suaminya, Armin Zaharin pada 12 Julai 2018 lalu. Perceraian tersebut dipercayai berpunca apabila Armin Zaharin didakwa atas pertuduhan mencederakan anak-anak mereka.
Artikel berkaitan: ‘Sudah Lama Saya Maafkan’ – Ziana Zain Sah Bercerai Talak Satu
Terbaru, Armin Zaharin telah dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh mahkamah. Namun bagaimanapun, dia memfailkan rayuan untuk mengenepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan itu.
Kecederaan pada anak-anak
Difahamkan, rayuan tersebut telah difailkan pada tarikh yang sama Armin Zaharin dijatuhkan hukuman oleh mahkamah iaitu pada 28 September lalu.
Susulan itu, Majistret Sabreena Bakar menjatuhkan hukuman selepas mendapati suami kepada Ziana Zain bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam anak-anaknya di bahagian tangan dengan menggunakan sebatang rotan di rumah di Denai Alam, Shah Alam pada 24 Februari 2018.
Hukuman penjara setahun
Dia bagaimanapun telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai. Namun, pihak mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.
Sumber: Harian Metro