Penyanyi, Syafeek Ikhwan memberitahu dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 selepas kediaman keluarganya yang terletak di Kuala Selangor dipecah masuk pencuri, semalam.
Artikel berkaitan: ‘Saya Bukan Orang Bodoh Yang Akan Umum Sebelum Simpan Bukti’ – Syafeek Ikhwan Bakal Saman Pemfitnah?
Dia lalu tepi katil ibu
Menerusi temu bual bersama pihak OhBulan!, Syafeek berkata dia berasa ralat apabila beg tangan jenama mewah yang dihadiahkan kepada ibunya pada tahun lalu turut lesap diambil oleh pencuri tersebut.
Nilai RM10,000 termasuk nilai beg tangan dan wang tunai. Pencuri itu ambil barang kemas milik ibu dan saya belum sempat mengira berapa jumlah yang hilang. Saya bersyukur sebab tiada kemalangan jiwa berlaku. Sebab pencuri lalu sebelah katil nak ambil barang ibu yang berada di dalam almari. Saya cuma ralat sedikit sebab beg tangan itu hadiah pemberian saya.
Tambah Syafeek, dia mendapat tahu mengenai kejadian tersebut awal pagi tadi dan bergegas pulang ke rumah keluarganya untuk melihat keadaan sebenar dan juga membuat laporan polis.
Mengulas lebih lanjut, Syafeek berkata pencuri berkenaan dipercayai masuk melalui tingkap hadapan rumah dan keluar menerusi pintu belakang. Walau bagaimanapun, keluarganya tidak pasti sama ada kejadian itu dilakukan oleh seorang individu atau secara berkumpulan.
Mereka baru pindah ke sini sejak tiga bulan lalu. Jadi dari segi keselamatan tak sempurna lagi kerana pintu grill belum pasang. Ibu ayah memang tak sedar. Cuma anak buah perasan ada orang masuk ke bilik namun mengabaikannya.
Ujar Syafeek lagi, ibunya masih berasa bimbang selepas kejadian itu berlaku. Pada masa yang sama, anak buah Syafeek yang berusia 10 tahun terpaksa membatalkan niat untuk ke sekolah hari ini kerana kehilangan beg serta kasut baharu.