Dalam dunia perniagaan automotif, nama Piyan mungkin tidak asing lagi, terutama bagi peminat modifikasi kereta.

Hakikatnya, di sebalik kejayaan yang diraihnya hari ini, tersimpan kisah perjuangan luar biasa yang penuh liku dan cabaran.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ini Antara Realiti Cabaran Komuniti OKU Pendengaran Dalam Dunia Pekerjaan di Malaysia

Artikel Berkaitan: ‘Sekiranya Saya Atau Isteri Tiada Di Dunia..’ – Dr Say Menangis Ketika Ambil Kad OKU Anak

Piyan atau nama sebenarnya, Mohd Sofian Mohd Yazid, berasal dari Pendang, Kedah, dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) akibat polio.

Hidup dalam keluarga sederhana dengan empat beradik, tiga daripadanya juga OKU menjadikan kehidupannya penuh cabaran sejak kecil.

Ibu bapanya mencari rezeki dengan menjual aiskrim dan cucur untuk menyara keluarga.

Sejak kecil, Piyan sudah meminati dunia automotif. Dia gemar bermain dengan kereta kawalan jauh dan memerhatikan kenderaan yang lalu lalang.

Walaupun terbatas dari segi fizikal, semangatnya untuk memahami dunia permotoran tidak pernah luntur.

Kecewa & bangkit

Selepas menamatkan pengajian tingkatan enam, Piyan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tetapi keadaan kewangan keluarga dan kekangan fizikal menjadi penghalang.

Rasa kecewa mula menyelubungi dirinya, lebih-lebih lagi apabila melihat rakan-rakannya meneruskan kehidupan dengan kerjaya yang stabil.

Sejak dari itu juga, dia nekad bergaul dengan rakan-rakan yang terlibat dalam dunia bengkel dan modifikasi kereta.

Dari sekadar menjadi pemerhati, minatnya semakin mendalam apabila dia berusaha belajar dengan mencatat setiap langkah dan teknik yang dilakukan oleh mekanik berpengalaman.

Jumpa inspirasi & mulakan perniagaan

Perjalanan Piyan berubah apabila dia menyertai sukan Paralimpik sebagai pemain catur wakil Kedah.

Di situ, dia bertemu ramai individu OKU lain yang berjuang meneruskan kehidupan walaupun mengalami cabaran lebih besar.

Salah satu peristiwa yang membuka matanya ialah apabila melihat seorang atlet yang terlantar di katil mampu bermain boling padang hanya dengan menolak bola menggunakan kepala.

Dari situ, dia mula membuang rasa rendah diri dan berusaha keluar dari kepompong OKU.

Dengan semangat baru, dia memulakan perniagaan kecil-kecilan dalam industri automotif, bermula dengan menjual alat ganti kenderaan dan menjalankan bengkel kecil.

Pada tahun 2015, Piyan menubuhkan Hantu Turbo, sebuah bengkel khas untuk modifikasi enjin dan alat ganti kereta import.

Perniagaan ini berkembang dengan pesat sehingga mempunyai 12 orang pekerja. Namun, pandemik COVID-19 pada tahun 2020 memberi tamparan hebat apabila perniagaannya jatuh dan pekerjanya meninggalkannya.

Bangkit & fokus

@peiyan_89 Bila bulan posa ni depa tingal ja kereta senang. Hangpa boleh tengok jangan lupa like n komen. #reibernorthern #reiberauto #whackthecorner #hampapasaipa ? original sound – PEYAN

Ketika berada di titik terendah dalam kehidupan, Piyan mencari jalan untuk bangkit semula.

Dengan semangat yang tidak pernah padam, beliau diberi peluang untuk menubuhkan Reiber Northern daripada Eezuan Othman, pemilik Reiber Auto pada tahun 2024 dengan pendekatan lebih fokus iaitu hanya mengkhususkan kepada pemasangan dan pembaikan absorber kereta.

Keputusan ini terbukti lebih berkesan, membolehkan operasinya berjalan lancar tanpa isu kewangan yang menjejaskan perniagaan sebelumnya.

Hari ini, Reiber Northern semakin dikenali dalam industri, dengan pelanggan yang datang kerana kepakarannya dalam bidang absorber kenderaan.

Piyan membuktikan bahawa kejayaan bukanlah tentang memiliki segalanya, tetapi tentang bagaimana seseorang mampu bangkit walaupun diuji berkali-kali.

Kepercayaan & kebergantungan kepada Allah

Sepanjang perjalanan hidupnya, Piyan tidak dapat menafikan bahawa kekuatan dan kejayaannya datang daripada pergantungan kepada Allah SWT.

Dahulu, dia sering mempertikaikan takdirnya sebagai OKU, tetapi kini dia yakin bahawa setiap ujian mempunyai hikmah tersendiri.

Malahan, ketika menghadapi krisis kewangan yang besar, dia menyaksikan sendiri bagaimana Allah membantunya menyelesaikan hutang-hutangnya tanpa diduga.

Pengalaman ini semakin mengukuhkan keyakinannya bahawa rezeki itu milik Allah dan tugas manusia adalah untuk berusaha sebaik mungkin.

Pesanan buat usahawan

Bagi Piyan, kejayaan bukanlah sekadar soal wang ringgit tetapi bagaimana seseorang mampu terus bertahan dan memberi manfaat kepada orang lain. Beliau berpesan kepada para usahawan, terutamanya mereka yang menghadapi kesukaran:

  1. Teruskan usaha dan jangan berputus asa. Jika satu jalan tertutup, pasti ada jalan lain yang Allah sediakan.
  2. Jangan ganggu kerja Tuhan. Usaha dan doa adalah tanggungjawab kita, selebihnya serahkan kepada-Nya.
  3. Cari ‘circle’ yang positif. Bergaul dengan orang yang boleh memberi motivasi dan semangat baru.
  4. Yakin rezeki datang dari Allah. Jika berpegang teguh pada prinsip ini, insyaAllah setiap cabaran boleh dihadapi dengan lebih tenang.

Kini, Pian bukan sahaja berjaya sebagai usahawan tetapi juga menjadi inspirasi kepada ramai golongan OKU dan usahawan muda di luar sana.

Beliau membuktikan bahawa walaupun menghadapi pelbagai cabaran, seseorang masih boleh berjaya dengan usaha, ketekunan dan keyakinan terhadap diri sendiri.

Semangat dan keberanian Pian dalam mengejar minatnya patut dijadikan inspirasi kepada usahawan di luar sana.

Kejayaannya membuktikan bahawa dengan keikhlasan, kesungguhan dan disiplin, minat boleh dijadikan sumber rezeki yang berterusan.

Mahu memaparkan perniagaan anda di lebih 30 jenama? Media Prima memperkenalkan #MariLokal bagi membantu PKS meningkatkan perniagaan.

Layari laman web REV Media Group untuk mengetahui lebih lanjut.