berita

Sabah Benarkan Solat Jumaat, Jemaah & Akad Nikah Di Masjid

December 9th, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Ramai orang Islam bersedih kerana tidak dapat berjemaah di masjid sekian lama selepas peningkatan kes Covid-19 yang mendadak sejak Oktober lalu. Namun, dengan penurunan kes di beberapa negeri, Sabah telah membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti di masjid dan surau dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun, aktiviti di semua masjid dan surau, termasuk solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat dibenarkan di seluruh Sabah mulai 7 December lalu.

Berkuatkuasa 7 Disember hingga 20 Disember

Foto: Borneo Today

Menurut laporan Harian Metro, semua aktiviti termasuk solat lima waktu secara berjemaah, solat Jumaat, kuliah Maghrib, Dhuha dan lain-lain aktiviti keagamaan termasuk kelas agama dibenarkan.

Kerajaan negeri Sabah bersetuju dengan cadangan mufti Sabah untuk membenarkan aktiviti keagamaan diadakan di masjid dan surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah. 

Masidi turut berkata, bagi solat lima waktu secara berjemaah, bilangan jemaah dibenarkan di masjid dan surau bagi seluruh zon di Sabah ialah satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau. Bagi solat Jumaat, bilangan jemaah yang dibenarkan adalah mengikut keluasan masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

Aktiviti kelas agama juga boleh diadakan di dewan atau bilik khas masjid dengan mematuh prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak melebihi 20 peserta dalam tempoh kurang daripada lima jam. Sama juga dengan majlis akad nikah yang dibenarkan untuk diadakan di dalam masjid tetapi dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang mengikut saiz ruang majlis.

Bagaimanapun, mereka yang terlibat dengan majlis akad nikah perlu menjaga disiplin dan mematuhi semua SOP, seperti jamuan makan dan minum dalam bentuk bungkusan saja dibenarkan.

Kerajaan turut menetapkan had umur kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10 tahun ke atas. Bagaimanapun, berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu Covid-19 pada semalam adalah sebanyak 271 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31,057 kes. Namun begitu, 237 pesakit juga telah discaj dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 28,038 orang. 

Sumber: Harian Metro.

SKIP THIS AD ×