Selepas beberapa hari kunci mulut, akhirnya pempengaruh Syifa Melvin dan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid selamat disatukan sebagai suami isteri pada malam Isnin.
Artikel Berkaitan: ‘Penat Kami Simpan Rahsia’ – Syifa Melvin Respon Bakal Kahwin Dengan Safawi Rasid, Selesa Hidup Privasi Elak Penyakit Ain
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Dikhabar Bakal Kahwin Esok Dengan Syifa Melvin, Safawi Rasid Kunci Mulut
Sekali lafaz
Syifa, 28, sah bergelar isteri kepada Safawi, 25, dengan sekali lafaz sekitar pukul 8.46 malam dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di Hotel Hilton Petaling Jaya.
Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah dinikahkan oleh jurunikah, Ustaz Khairil Nizam sambil disaksikan oleh bapa pengantin perempuan, Amirol Melvin dan aktor Shaheizy Sam.
Pemilik nama Muhammad Safawi Rasid menyerahkan sebentuk cincin sebagai mas kahwin kepada Syifa.
Pilih warna krim
Sejurus usai lafaz, adik kepada pelakon Syatilla Melvin dilihat menitiskan air mata. Dalam majlis serba sederhana, pasangan tersebut memilih mengenakan sepersalinan pakaian berwarna krim.
Majlis ijab qabul dan resepsi yang bertemakan serba putih dan menutup aurat itu dihadiri ahli keluarga serta rakan terdekat kedua belah pihak.
Antara rakan selebriti yang hadir adalah Uyaina Arshad, Riena Diana, Lia Natalia, Nabila Razali, Zamarul Hisyam dan Diana Rafar.
Sejak minggu lalu, timbul khabar angin mengenai perkahwinan pasangan berkenaan yang dikatakan berlangsung dalam masa terdekat.
Pada Isnin, tular video Safawi dikejutkan oleh penyokong JDT dengan nyanyian lagu Selamat Pengantin Baru di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Kemudian, tersebar kad undangan resepsi yang bertarikh 3 Disember depan, dengan tertera nama ibu bapa Safawi, Rasid Sulong dan Selemeh Abu Bakar.
Selain itu, menerusi Instagram Live, Syifa mengakui mereka selesa dengan kehidupan privasi tanpa menghebahkan selagi belum sah ikatan.
Terdahulu, kisah percintaan Safawi dan Syifa menjadi bualan orang ramai, namun tiada sebarang pengesahan rasmi daripada kedua-dua belah pihak yang mengatakan mereka menjalin hubungan istimewa.
Sumber: Youtube The Melvins