Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali menyatakan dirinya sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan bekas isteri, Fitria Elfina Maharip berhubung konflik rumah tangga mereka.
Artikel Berkaitan: Safee Sali Ceraikan Fitria Dengan Talak Dua
Artikel Berkaitan: ‘Betul, Saya Sudah Kahwin…Apa Salahnya?’ – Safee Sali
‘Ada meja perundangan’
Ketika ditemui OhBulan! Safee berkata dia juga berharap agar bekas isteri tidak terlalu berkongsi sebarang masalah atau luahan perasaan di media sosial.
Saya hanya boleh kawal diri saya sahaja, pihak luar saya tidak boleh kawal. Saya berharap kes dapat diselesaikan dengan cara baik. Saya juga sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan.
Media sosial bukan tempat penyelesaian, ada meja perundangan di hadapan hakim dan saksi yang lebih baik.
Kes sulh boleh diadakan pada bila-bila masa, saya ada sahaja di Lembah Klang dan tidak lari ke mana-mana. Saya sentiasa terbuka untuk perbincangan. Di Malaysia ada proses undang-undang dan prosedur yang perlu dituruti.
Safee berkata demikian ketika ditemui pada majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2024 yang diadakan di Le Meridein Hotel, Petaling Jaya, pada Rabu.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai tomahan yang dilemparkan segelintir pihak mengatakan apa yang terjadi adalah balasan atau kifarah kepada bekas isteri, Safee menjawab setiap manusia pernah melakukan kesilapan.
Setiap orang ada masa lampau dia sendiri, tidak perlu terlalu toleh ke belakang. Apa yang terjadi biarkan terjadi, move on sahaja.
Pendirian saya, semalam adalah sejarah. Hari ini lakukan yang terbaik dan esok belum tentu ada lagi hari untuk kita.
Sekadar info, Safee mendirikan rumah tangga dengan warga Indonesia, Fitria Elfina pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan. Pasangan itu sah bercerai talak dua pada 26 Mac lalu.
Sebelum itu, Safee juga pernah berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 sebelum berpisah pada 2 April 2012. Menerusi perkahwinan pertama, Safee juga dikurniakan dua cahaya mata.