berita

Saksi Nampak Bella Tidur Atas Lantai Bilik Dobi Tanpa Alas, Ada Kesan Lecur Di Leher

June 1st, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa beliau nampak remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella baring di lantai bilik dobi di sebuah kondominium di Wangsa Maju tanpa dialas dengan selimut dan tilam, selain terdapat kesan lecur pada leher mangsa.

Tidur di lantai bilik dobi

Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman Suhana Zam, 40, berkata ketika itu, beliau ingin membuang sampah di bahagian bilik dobi berkenaan pada kira-kira jam 4 pagi.

Pada hari itu, saya telah melakukan kerja-kerja pejabat hingga jam 4 pagi. Semasa hendak membuang sampah, saya tidak membuka lampu.

Saya tersepak Bella yang sedang baring di lantai bilik dobi dan saya terkejut serta tergamam kerana itu kali pertama saya melihat Bella berada dalam keadaan begitu.

Saksi kelapan itu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad disoal apakah tindakan beliau selepas tersepak Bella, menjawab, dia memandang Bella dengan kaku untuk beberapa saat kerana tidak percaya akan apa yang berada di depan matanya.

Menurutnya, beliau menyaksikan insiden itu ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya bersama Siti Bainun serta penghuni unit kondominium itu dengan kakak angkatnya Haiza pada 21 Mei 2021.

Kulit leher Bella melecur

Saksi turut memaklumkan bahawa beliau ada ternampak kecederaan pada leher Bella iaitu kulitnya melecur serta merah-merah.

Saya tiba di sana dalam tengah hari dan merancang untuk duduk selama dua hari. Apabila saya masuk ke tempat itu, saya nampak Bella berdiri di tepi dinding menghadap meja makan dan terdapat kecederaan pada leher Bella iaitu kulitnya melecur serta merah-merah.

Ketika itu, Siti Bainun menyuruh seorang penghuni rumah yang dikenali sebagai Aida menukar pakaian Bella selepas Kak Haiza memanggil Bella untuk menyertai sesi bersalaman di ruang tamu… Saya dengar Bainun cakap betulkan butang baju tu, bagi tinggi sikit nanti orang nampak kata saya dera pula.

Saksi itu juga berkata, beliau ada bertanya kepada Siti Bainun mengenai kecederaan Bella dan tertuduh memaklumkan bahawa mangsa ‘main simbah-simbah air panas’ dengan adik-beradiknya. Apabila disoal Timbalan Pendakwa Raya siapakah adik-beradik Bella, beliau menyatakan nama Aida dan Balqis.

Aida dan Balqis tidak termasuk Yasmin, itu yang saya tahu. Saya cakap pada Siti Bainun takkan kau biar budak-budak bergaduh macam itu dan Siti Bainun menjawab ‘Saya tidak boleh nak buat apa sebab Aida kalau dah marah, hilang akal.

Terdahulu, Siti Bainun, 30 tahun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 13 Jun ini.

Sumber: BERNAMA

SKIP THIS AD ×