Sebagai sahabat baik, pelakon Salina Saibi gembira melihat hubungan pengarah popular Syamsul Yusof dan keluarganya kembali terjalin.

Artikel Berkaitan: [FOTO] Syamsul Yusof Luang Masa Bercuti Di Switzerland Bersama Keluarga & Dua Anak Tercinta

Artikel Berkaitan: ‘Woi, Dah Lah Tu! Diamlah’ – Salina Saibi Minta Fazura Henti Buka Aib Bekas Suami

Doakan mereka

Ketika ditemui OhBulan!, Salina meluahkan rasa syukur apabila doanya dimakbulkan Allah SWT selepas melihat kebahagiaan keluarga Syamsul.

Alhamdulillah, saya turut merasa bahagia. Memang itu yang saya impikan malah setiap kali solat saya akan berdoa untuk mereka.

Kita semua tak tahu apa yang terjadi antara mereka, tetapi selepas mereka bertaut kembali saya pasti satu keluarga Skop Production gembira.

Pelakon berusia 43 tahun tersebut juga memaklumkan bahawa dia pernah berhubung dengan pengarah filem Munafik itu sebelum ini.

Sebagai seorang kawan, saya ada hubunginya sebelum ini namun saya tidak menyentuh tentang keluarga secara ‘direct’, maksudnya saya hanya beri bayangan sahaja.

Syamsul tidak beremosi, responnya hanya relaks dan diam.

Kami pun tak pernah bertemu hanya berhubung di media sosial sahaja.

Salina berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Starvendor KL Mega Raya Festival 2025 yang diadakan di Ruang Rama Event Space, Petaling Jaya baru-baru ini.

Silaturahim keluarga

Dalam pada itu, pelakon filem Aku Bukan Tomboy tersebut berharap dan sentiasa mendoakan agar silaturahim mereka berkekalan.

Saya memang baik dengan Syamsul tetapi saya tak mahu masuk campur urusan mereka dan tak mahu komen lebih kerana kita tak tahu hal yang sebenar.

Kita doakan yang baik-baik kerana setiap keluarga ada naik dan turunnya. Kita pun tak mahu tengok perpecahan berlaku dalam keluarga mereka.

Saya harapkan silaturahim mereka kembali terjalin dan semua yang melihat pastinya akan rasa bahagia.

Terdahulu, Syamsul bersama keluarga dilihat kembali mesra ketika meluangkan masa bersama bercuti di Switzerland sekitar Januari lalu.

Sebelum ini, konflik antara Syamsul bersama dua ibu bapanya bermula apabila dia dilapor sudah lama tidak berhubung dengan keluarga selepas berlaku pergolakan rumah tangga dengan bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana hingga membawa kepada perceraian.

Konflik itu berlanjutan apabila pengarah Syamsul bernikah secara rahsia dengan Ira, yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi.

Selepas bertahun tidak berjumpa, akhirnya Syamsul kembali ke pangkuan keluarga selepas bercerai dengan Ira pada September tahun lalu.