Penyanyi, Sandra Dianne, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke Putrajaya, semalam.
Menerusi laporan Harian Metro, Sandra diberi pengecualian untuk tidak beraksi di konsert Big Stage minggu keempat, malam ini.
Masih tunggu maklumat daripada doktor
Menurut pihak pengurusan Sandra iaitu Sony Music Malaysia, artis naungan mereka itu telah terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). Susulan kemalangan tersebut, kereta hadapan pelantun suara ‘Hey Kau’ itu mengalami kemusnahan yang agak teruk. Setakat ini, Sandra masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Sandra dan sepupunya dipercayai dalam perjalanan dari rumah menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya untuk latihan penuh program Big Stage. Di samping itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, memberitahu bahawa pihak produksi telah bersepakat untuk memberikan pengecualian buat Sandra untuk konsert minggu ini. Ujarnya, tiada penyingkiran terhadap Sandra akan dibuat walaupun dia tidak membuat persembahan malam ini.
Sumber: Harian Metro