
Penyanyi terkenal, Shila Amzah, mendedahkan hasratnya untuk berhijrah ke negara China selewat-lewatnya pada hujung tahun depan susulan komitmen kerjayanya yang semakin berkembang di negara berkenaan.
Artikel Berkaitan: Shila Amzah Tampil Dengan Demo Lagu ‘Coretan Anak’, Lirik Undang Rasa Sebak – ‘Ayah, Tahukah Rasanya Diabaikan?’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Perubahan Fizikal Raih Perhatian, Netizen Puji Shila Amzah Makin Cantik
Kerap ulang-alik

Ketika ditemui OhBulan!, Shila atau nama penuhnya Nurshila Amir Amzah, 35, berkata komitmen kerjayanya di China ketika ini menuntut dirinya untuk kerap berulang-alik antara Malaysia dan negara tersebut.
Buat masa sekarang, saya kerap ulang-alik ke China.
Selepas tiga atau empat hari di sana, saya akan pulang ke Malaysia dan sempat bersama anak selama dua atau tiga hari.
Sepanjang saya tiada disini, ibu dan bapa tiri yang banyak membantu menjaga anak-anak.
Walaupun ada pembantu, saya tetap perlukan orang yang benar-benar saya percayai.
Jadi, saya plan untuk berhijrah ke China selewat-lewatnya pada hujung tahun depan.
Sebab saya terlalu kerap berulang-alik dan ianya memenatkan.
Shila berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama di Seirra Fresco, Puchong, pada Rabu.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Patah Seribu’ turut memaklumkan bahawa dia bakal menandatangani satu lagi kontrak jangka panjang di China dalam masa terdekat.
Lagipun, saya bakal menandatangani satu kontrak, tetapi belum boleh dikongsikan butirannya buat masa ini.
Apa yang boleh saya katakan, tempoh kontrak itu agak panjang.
Mengulas dakwaan kononnya dirinya lebih dihargai peminat di China, Shila menegaskan keputusan untuk berhijrah bukan kerana bakatnya lebih mendapat tempat di negara berkenaan berbanding Malaysia.
Bukan sebab peminat di sana lebih hargai saya.
Kalau macam tu, tak akanlah saya masih buat album lagu Melayu di sini.
Itu bermakna peminat di Malaysia juga sama penting buat saya.
Sebenarnya, saya pernah menetap di China tahun 2012 ketika perkahwinan pertama.
Kami tinggal di sana hampir lapan tahun.
Selepas itu saya pulang ke Malaysia, kemudian dilanda pandemik COVID-19 dan ketika itu memang tiada rezeki di sana.
Sehubungan itu, Shila menegaskan penghijrahannya kelak adalah kerana mahu mengejar peluang serta rezeki yang terbuka di negara berkenaan.
Jadi, ini bukan soal dihargai atau tidak.
Di mana ada rezeki, di situlah saya akan pergi.
Saya akan cuba cari keseimbangan antara kerjaya di China dan Malaysia.
Kalau boleh belah dan bahagi dua diri ini, sudah lama saya buat demi peminat.








