Selepas selesai melangsungkan majlis khatam Al-Quran bersama adiknya pada minggu lalu, ramai dalam kalangan peminat sudah tertanya-tanya bila agaknya aktres cantik jelita, Mira Filzah akan menamatkan zaman bujangnya bersama pilihan hati iaitu Wan Emir Astar.
Namun, segala teka-teki mengenai hari bahagianya akhirnya terjawab selepas Mira mengumumkan akan melangsungkan majlis pernikahan pada malam ini (3 September).
Bakal bernikah malam ini
Menerusi laporan yang dipetik daripada Harian Metro, Mira memaklumkan mengikut pada perancangan awal, majlis pernikahannya akan berlangsung pada Oktober depan seperti yang diwar-warkan media sebelum ini. Tetapi disebabkan kakak sulungnya menetap di New York dan tidak dapat berada di Malaysia dalam tempoh yang agak lama jadi mereka membuat keputusan untuk mempercepatkan majlis pernikahan itu.
Namun, disebabkan kakak tidak boleh berulang-alik dengan kerap kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, jadi saya ambil keputusan mempercepatkan tarikh pernikahan, manakala adik bongsu pula terpaksa menunda sedikit pernikahannya supaya kakak boleh menyaksikan hari bahagia kami berdua.
Bermula di Instagram
Bertanya mengenai detik perkenalan bersama bakal suami, Mira menceritakan bahawa mereka mula mengenali menerusi aplikasi Instagram apabila Emir menghantar Direct Message (DM) kepadanya dengan berkongsi mesej kerohanian pada Ramadan tahun lalu. Tetapi Mira pada ketika itu langsung tidak membalas mesej tersebut dan hanya menganggap Emir tidak lebih seperti peminat-peminatnya yang lain.
Percubaannya tidak terhenti di situ apabila menghantar pula DM kepada emak. Kebetulan emak memang mengenali arwah bapa Emir, jadi mereka saling berkomunikasi. Sehinggalah emak minta saya supaya mengenali Emir dan minta saya berjumpa dengannya. Punca saya terbuka hati semuanya disebabkan ibu dan bapa. Jadi saya pun membalas DM daripada Emir dan hubungan itu kemudiannya berlanjutan ke aplikasi WhatsApp.
Beritahu emak nak kahwin
Menurut Mira, dia dan Emir kemudian bertemu buat kali pertamanya pada Oktober tahun lalu. Selepas hampir 2 bulan mengenali hati budi, pada Disember tahun lalu, Emir yang berkelulusan dari United Kingdom dan bergelar arkitek telah menghantar rombongan untuk merisik kekasih hatinya itu. Mira menyifatkan Emir seorang lelaki yang baik dan selesa ketika bersamanya.
Saya selesa dan okay mengatur pertemuan seterusnya. Selepas lima hingga enam kali berjumpa, saya beritahu emak mahu berkahwin dengan Emir, namun, dia masih belum melamar saya.
Apabila saya beritahu Emir mengenai rancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya, dia juga sebenarnya ada hasrat sama.
Siaran langsung di Youtube TV3
Sementara itu, majlis pernikahan Mira dan Emir boleh disaksikan peminat melalui program MBuzz siaran TV3 pada jam 9 malam selama 10 minit. Selain itu, siaran langsung majlis pernikahan boleh disaksikan di akaun YouTube TV3, mulai jam 8.30 malam. Tambah Mira lagi, majlis resepsi esok yang diadakan di Le Meridien, Putrajaya akan disiarkan secara langsung menerusi TV3, manakala majlis resepsi pada Ahad di A-Park, Puchong akan disiarkan melalui program Melodi.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian