Biarpun sibuk dengan kerjaya sebagai anak seni, pelakon Putra Amaris tetap aktif dengan aktiviti kerja amal dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Rumah untuk asnaf
Ketika ditemui OhBulan!, Amaris menyatakan dia sudah lama menyimpan niat untuk membina sebuah rumah pada golongan asnaf.
Kata aktor berumur 37 tahun ini, impian besar itu bakal terlaksana pada bulan Ramadan ini hasil daripada sumbangan rakan-rakan serta beberapa pihak.
Amaris atau sebelum ini dikenali sebagai Amran Ismail berkata anggaran keseluruhan kos untuk membina rumah tersebut adalah sekitar RM80,000 hingga RM100,000 dan dijangka akan siap sebelum tibanya bulan Syawal.
Saya dah lama simpan niat nak buat rumah untuk golongan asnaf atau yang sangat memerlukan. Tapi kalau nak buat sendiri, memang tak mampu. Kebetulan rakan saya turut mempunyai hasrat yang sama.
Alhamdulillah, tercetus la idea nak buat satu rumah untuk asnaf pada bulan Ramadan. Anggaran sebuah rumah untuk keseluruhan lebih kurang 80,000 hingga 100,000.
Insya-Allah projek rumah ini akan bermula pada 1 Ramadan selama lebih kurang 26 hingga 30 hari. Untuk lokasi dan penerima bertuah itu nanti kami akan update.
Ceritanya lagi, dia bersama Pertubuhan Kebajikan Dapur Pasak Kuala Lumpur akan memilih sebuah keluarga asnaf yang memerlukan dan mempunyai dokumen lengkap tentang pemilikan tanah.
Buat masa ini kami sudah ada data based untuk golongan asnaf. Kami akan pilih satu keluarga yang betul-betul memerlukan rumah. Pemilihan lokasi sekitar Lembah Klang.
Amaris ditemui ketika sidang media Qaseh Infaq Ramadan #Samasamakenyang yang diadakan di Hotel Eastin Kuala Lumpur, Petaling Jaya, pada Ahad.
Program penuhkan peti ais
Di samping itu, pelakon filem Ratu Kala Jengking juga akan melancarkan program Penuhkan Peti Ais yang menyasarkan lebih 1,000 buah rumah di sekitar Lembah Klang.
Kata pelantun lagu Ini Janjiku, mereka akan menyediakan keperluan barangan basah dan kering yang anggarannya sekitar RM200 hingga RM500 untuk sebuah keluarga.
Anak kelahiran negeri Johor ini mengalu-alukan syarikat korporat, badan bukan kerajaan dan orang ramai yang ingin menyumbang dari segi kewangan dan barangan keperluan.
Selain projek rumah, saya dan team yang lain juga mewujudkan satu program iaitu penuhkan peti ais bermula Ramadan ini. Insya-Allah program itu akan melibatkan 1,000 buah rumah di sekitar Kuala Lumpur.
Anggaran untuk kos barangan keperluan basah dan kering sekitar RM200 sehingga RM500. Saya berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban mereka ketika bulan Ramadan ini dan juga sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam mengharungi kehidupan seharian.
Alhamdulillah, tahun ini saya menerima banyak tajaan dan ramai yang hubungi saya untuk beri sumbangan. Tapi kami sangat mengalu-alukan mana-mana pihak, jutawan atau dermawan yang nak salurkan sumbangan terutama dari segi kewangan atau barangan keperluan.
Dalam pada itu, program #Samasamakenyang turut mengadakan aktiviti lain seperti Majlis Berbuka Puasa bersama Golongan Asnaf & Anak Yatim, Majlis Berbuka Puasa bersama OKU, Sahur & Berbuka Puasa bersama Gelandangan, Sumbangan kepada Anak-anak Tahfiz, Sumbangan Bakul Makanan kepada Golongan B40 dan program masak serta agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat.