Bekas suami kepada Siti Sairah iaitu Saiful Anuar menyangkal dakwaan kononnya dia menuduh penyanyi itu mengerah tenaga anak mereka, Amad Dayyan.

Artikel Berkaitan: Shiha Zikir Nasihat Amad Dayyan Jaga Percakapan Dengan Orang Dewasa – ‘Janji, Jangan Ulang Salah Sama’

‘Bukan Sairah’

Saiful ketika dihubungi OhBulan! berkata, luahan yang dibuat di Instagram sebelum ini bukan ditujukan kepada bekas isteri, tetapi seorang individu yang bertindak mengawal aktiviti dan kerjaya seni Amad.

Sebagai ayah sudah pasti saya begitu ‘concern’ dengan anak sendiri. Kalau perasan sudah dua minggu berturut-turut Amad tidak sihat ketika konsert Talk To My Manager (TTMM).

Amad tidak sihat kerana aktiviti dia penuh dengan ‘job’. Saya tidak salahkan Sairah dalam hal ini, saya sangat hargai Sairah kerana dia telah menjaga anak-anak kami.

Saya cuma pertikaikan individu yang ‘monitor’ (mengawal) aktiviti Amad. Sepatutnya kalau tahu Amad sedang bertanding di TTMM biarkan dia fokus dalam pertandingan, tak perlu ambil ‘job’ banyak.

Saya sangat menitikberatkan dan risau dengan kesihatan Amad. Saya tahu anak saya macam mana kerana dia membesar dari kecil dengan saya. Naluri saya dengan Amad sangat kuat.

Tambah Saiful, dia perlu tampil memberi penjelasan supaya orang ramai tidak menyalahkan bekas isteri berhubung polemik keluarganya yang kini sedang menjadi bualan dalam media sosial.

Saya ingin bersihkan nama apabila ada yang mendakwa saya menuduh Sairah kerah Amad. Sedangkan perkongsian saya ditujukan kepada individu yang ‘monitor’ aktiviti Amad.

Kepada individu yang ‘monitor’ itu yang membuatkan kesihatan dan pembelajaran Amad terjejas, minta dia fikir semula dan renung-renungkan.

Dalam pada itu, Saiful turut menegaskan, dia tidak pernah meminta mahupun menggunakan duit hasil titik peluh anaknya.

Semenjak Amad dan Umai mula menceburi bidang seni, satu sen pun duit hasil kerja mereka saya tidak pernah minta.

Hubungan saya dengan Amad ada jarak sedangkan dia anak kandung. ‘Gap’ antara kami sudah semakin jauh. Apabila ada jarak antara kami, tiada lagi sesi luahan atau perkongsian antara anak dan ayah.

Saya dengan Sairah tiada sebarang masalah, cuma ada campur tangan pihak ketiga yang menghalang.