berita

‘Saya Dilahirkan Memang Bukan Anak Orang Senang’ – Rozita Che Wan

March 7th, 2024 | by Zulaikha
Kini Trending

CHE TA-3

Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan mendedahkan dirinya pernah hidup susah dan tinggal di kawasan flat sebelum mengecapi kemewahan seperti hari ini.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rozita Che Wan Jawab Dakwaan Bankrap, Dedah Setiap Bulan Bayar RM50,000 Cukai Diri Sendiri

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Jatuh Cinta Dengan Che Ta Waktu Dia Tak Pakai Make Up’ – Zain Saidin

Mak buat banyak kerja

mak che ta

Menurut Rozita yang mesra disapa Che Ta berkata, dia juga bukan dilahirkan sebagai anak orang berada. Kata Che Ta, bapanya meninggal dunia ketika umurnya 15 tahun dan kemudian tanggungjawab ketua keluarga dipikul oleh ibunya, Zabedah Saad.

Saya dilahirkan memang bukan anak orang senang. Ketika arwah bapa meninggal dunia, saya baru berusia 15 tahun dan emak pula seorang suri rumah serta tidak pernah bekerja seumur hidupnya.

Emak juga terpaksa buat pelbagai kerja termasuk bekerja di kantin sekolah dan arwah Toklah yang menjaga kami adik beradik.

Dari situ, saya sudah tengok kesusahan emak bekerja keras untuk membesarkan kami tetapi emak tidak pernah minta bantuan orang lain pun.

Namun, kata Che Ta, 51, kehidupan satu keluarga mula berubah apabila dia bekerja sebagai pramugari pada usia 17 tahun dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.

Ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga berkahwin dengan juruterbang pada usia 20 tahun tetapi bercerai pada usia 30 tahun.

Selepas bercerai, saya tiada pekerjaan serta turun naik mahkamah ketika itu. Mujur, saya ada duit simpanan dan bila sudah menang kes baru saya dapat duit untuk bayar peguam.

Perkahwinan pertama tak dapat harta

Enggan menoleh ke belakang lagi, Che Ta berkata, dia kembali dalam bidang modelling dan menceburi bidang lakonan selepas bercerai untuk menyara dirinya dan dua anak lelaki, Ammar Affendy dan Aniq Ezzra.

Kaum wanita juga tidak boleh hidup terlalu bergantung sangat dengan lelaki.

Saya sendiri, bila bercerai tak dapat harta apapun. Selama 10 tahun, saya hidup menjanda sampailah saya berkahwin dengan Zain.

Tambah isteri kepada aktor, Zain Saidin, dia percaya lelaki akan lebih menghormati jika wanita mempunyai sumber pendapatan mereka sendiri.

Saya juga berlakon pada usia yang agak lewat tapi tidak terlalu lewat untuk kita mulakan sesuatu kerana yang penting ada kemahuan.

Tapi, sampai bila saya nak berlakon sebab itu saya buat pelbagai bisnes. Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan menjana pendapatan.

Che Ta ditemui pada sesi talkshow Kemandirian Wanita bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

tengku khalidah

Ketua Penjenamaan dan Editorial Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin selaku moderator dalam program yang berlangsung di pusat beli-belah, My Town Kuala Lumpur.

Terdahulu, majlis pelancaran kempen Fiesta Perkeso Membawa Senyuman disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, tunggak sesebuah keluarga adalah golongan wanita, ibu dan suri rumah yang tidak bergaji.

Menurutnya, sebelum ini suri rumah juga tidak ada sebarang perlindungan jika berlaku kemalangan sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka.

Sebab itu Perkeso memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk melindungi golongan wanita dan suri rumah bawah 55 tahun jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit dengan pelbagai faedah termasuk kematian.

Kita adalah negara keempat di dunia yang perkenalkan skim sebegini.

Dengan caruman yang begitu rendah untuk mereka terlindung jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit serta mendapat pelbagai faedah kematian, pencen bulanan dan dialisis.

Sementara itu, acara turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 10 artis yang turut menjadi pempamer selama tiga hari program PERKESO Membawa Senyuman. Antaranya Tyzo Xander, Izue Islam, Ako Mustapha, Anne Abdullah, Darling Ngasri, Syanie, Ani Maiyuni, Haleeda, Ayu Damit dan Azza Elite.

Kata Tyzo, dia berharap Perkeso dapat menganjurkan lebih banyak program yang melibatkan golongan karyawan seni sebegini.

Kita berharap Perkeso dapat menganjurkan lebih banyak program yang melibatkan golongan karyawan seni sebegini kerana melalui program ini, kami mendapat lebih banyak maklumat bagi perlindungan keselamatan memandangkan artis banyak bekerja sendiri. Maklumat sebegini akan kami kongsikan pula dengan peminat di luar sana.

SKIP THIS AD ×