Penyanyi antarabangsa, Yuna menegaskan dia tidak menyokong penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh dalam penghasilan muzik kerana percaya nilai kemanusiaan dalam sebuah karya tidak boleh digantikan dengan teknologi.

Artikel Berkaitan: Raih 1 Billion Strim, Yuna Buktikan Penyanyi ‘Independent’ Mampu Berjaya – ‘ Saya Berkarya Kerana Minat’

Tolak AI

Menurut Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai, 40, AI sepatutnya hanya digunakan sebagai alat bantuan untuk memperkemaskan karya dan bukannya mengambil alih sepenuhnya proses kreatif seorang pengkarya.

Saya menolak AI, saya tidak menggalakkan orang ramai bergantung kepada AI untuk menghasilkan lagu. Bagi saya, AI sepatutnya digunakan untuk membantu memperbaiki seni dan karya yang kita hasilkan.

AI bukan untuk mengambil alih sepenuhnya proses kreatif itu. Saya kurang bersetuju jika seseorang menggunakan suara AI sepenuhnya dan terus menghasilkan lagu.

Yuna berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Ajar Aku, kolaborasi antara Aizat Amdan dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) featuring Yuna yang berlangsung di Ampang baru-baru ini.

Tambah pelantun lagu Terukir Di Bintang itu, industri muzik ketika ini masih mempunyai ramai artis, komposer dan penulis lagu berbakat yang bergantung kepada karya seni sebagai sumber pendapatan utama mereka.

Sedangkan kita ada ramai artis berbakat, penulis lagu dan pengkarya yang mencari rezeki melalui bidang ini. Itulah ‘bread and butter’ mereka.

Dalam masa sama, Yuna mengakui dia sangat menitikberatkan sentuhan manusia dalam sesebuah karya kerana baginya emosi dan jiwa dalam muzik tidak mampu diterjemahkan sepenuhnya oleh AI.

Bagi saya, sentuhan manusia itu sangat penting. Nilai kemanusiaan dalam sesebuah lagu juga sangat penting. Sebab itu kami cuba mengelakkan penggunaan AI dalam karya kami.

Mungkin pandangan artis lain berbeza dan saya tidak boleh bercakap bagi pihak mereka. Kalau AI digunakan sekadar untuk mencetuskan idea awal atau sebagai permulaan dalam proses berkarya, saya masih boleh terima.

Tetapi jika keseluruhan struktur lagu itu dihasilkan AI, bagi saya agak berbeza. Namun, pada masa sama saya sedar kita memang tidak boleh melawan perkembangan teknologi ini.

Kita hanya perlu belajar hidup dengannya, tetapi seboleh-bolehnya masih mengekalkan elemen kemanusiaan dalam muzik dan karya yang dihasilkan.