
Sekian lama tidak muncul dalam sebarang karya, pelakon dan usahawan, Elfira Loy menafikan dirinya sudah berundur daripada dunia lakonan.
Artikel Berkaitan: ‘Bila Bergaul Dengan Ramai Suri Rumah, Baru Tahu Seronok Jadi Ibu’ – Elfira Loy
Tinggalkan seketika dunia lakonan
Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, berkata, dia memilih untuk berehat seketika daripada dunia seni kerana mahu memberi tumpuan penuh kepada keluarga dan menguruskan anak-anak yang masih kecil.
Dikatakan tinggalkan dunia seni, saya tidak beri kata putus. Kerana lakonan ini adalah sesuatu yang boleh sahaja dilakukan bila-bila masa, kalau saya mahu saya boleh teruskan.
Saya tidak pernah kata saya sudah berhenti berlakon atau mahu teruskan berlakon, segalanya terbuka dan ikut keadaan serta situasi.
Saya tidak pernah memilih naskhah sejak dahulu kerana saya percaya semua naskhah adalah yang terbaik. Malah tugas pelakon untuk menaikkan rating cerita tersebut.
Cumanya setiap kali ada tawaran berlakon, ada percanggahan dengan jadual harian. Kerana sekarang ini segala tugas rumah sepenuhnya dilakukan oleh saya. Nanti bila anak-anak sudah besar, insya-Allah aktif semula.
Elfira berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara Cakenis Athleisure & Cakenis Cup Pickleball Final Match yang berlangsung di Tomaz Pickleball, baru-baru ini.
Mengakui rindu untuk kembali ke layar, ibu dua anak itu bagaimanapun berkata dia kini mempunyai keutamaan baharu dalam hidup iaitu keluarga kecilnya.
Sudah pasti ada rasa rindu untuk berlakon kerana kerjaya itu saya mula daripada kecil. Tetapi, rasa bahagia membina keluarga kecil saya lebih bermakna daripada karier yang saya telah bina.
Sehingga kini saya masih terima tawaran berlakon, tetapi dalam masa dapat tawaran main pickleball, jadi saya lebih memilih bermain pickleball daripada berlakon.
Dalam pada itu, Elfira memberitahu, dia juga seronok menikmati fasa bergelar suri rumah sepenuh masa selain anak-anaknya juga gembira apabila diuruskan olehnya berbanding pembantu.
Saya sudah 10 tahun dalam industri, jadi apa salahnya untuk saya berehat sekejap dan memberi fokus kepada keluarga serta menjaga anak-anak.
Alhamdulillah, anak-anak lebih selesa bila saya yang jaga dan masak untuk mereka berbanding pembantu sebelum ini.
Untuk rekod, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairul Anuar pada 1 Januari 2019 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Rayyan Khalaf, 6 dan Nur Aria Mikayla, 4.