Pengacara dan penyampai radio, Fizi Ali tampil mengulas berhubung isu salah faham berkaitan komunikasi di antara anaknya, Ameena Sofia dan bekas isteri, Shakilla Khoriri, sewaktu mereka menunaikan umrah baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: Shakilla Khoriri Rindu Ameena, 9 Hari Tak Dengar Khabar – ‘Mungkin Kusyuk Umrah, Tapi Umi Tak Kecil Hati’

Artikel Berkaitan: Fizi Ali Nafi Ameena Jatuh Sakit, Minta Ruang Untuk Fokus Kepada Umrah – ‘Dugaan Apa Yang Korang Mengata Saya Sekeluarga?’

‘Sepuluh jari saya minta maaf’

Ketika ditemui OhBulan!, Fizi atau nama lengkapnya Mohd Hafizudin Alimudin, 36, enggan memanjangkan isu berkenaan selain mengambil kesempatan memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terasa hati.

Bila berlakunya perkara itu semasa saya di tanah suci, saya agak terkejut. 

Cuma mungkin ada silap dari saya, saya minta maaf kepada sesiapa yang terasa hati atau fikir saya tak bertanggungjawab dan sebagainya. Sepuluh jari saya minta maaf.

Ujar Fizi lagi, dia dan pihak bekas isteri sebenarnya sudah memahami cara komunikasi masing-masing, namun tidak tahu mengapa perkara itu masih menjadi isu.  Katanya, komunikasi antara  mereka sebelum ini berjalan baik tanpa sebarang salah faham.

Seperti yang status dikeluarkan itu, sebenarnya sebelum ini tak ada masalah apa pun yang berlaku sebab kami kedua-dua belah pihak ada berhubung.

Macam sebelum ini ada je ketika saya bawa Ameena pergi bercuti, dia mesej kata nak telefon dan sebagainya, tak ada masalah.

Jadi saya beranggapan ianya beranggapan benda ini berterusan sampai bila-bila. Tetapi saya tak pasti mengapa tiba-tiba dia keluar status semasa saya berada di tanah suci.

Sejujurnya sepanjang kami di tanah suci, dia tak ada hubungi kami pun.

Fizi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-37 (ABPBH 37) yang berlangsung di Menara Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Jadual padat, anak dan isteri sakit

Sementara itu, Fizi menjelaskan bahawa jadualnya di tanah suci cukup padat, ditambah pula dengan keadaan keluarganya yang turut diuji masalah kesihatan.

Dekat sana Ameena ada teringat nak beli barang untuk mak dia tapi tak ada lah cakap nak telefon ke apa. Ketika tunai umrah tu pun, anak saya yang kecil tu sakit, isteri sakit. Jadual pula padat.

Bila orang kata sempat pula saya update Instagram Stories, itu pun memang hujung-hujung sahaja dapat update media sosial.

Bagaimanapun, Fizi mengakui bahawa perselisihan faham dengan bekas isterinya itu tidak mengganggu ketenangan dan ibadahnya sepanjang berada di tanah suci.

Namun dia berpendapat isu keluarga sepatutnya dibincangkan secara peribadi tanpa perlu melibatkan pihak luar.

Saya lebih kepada memaafkan dan meminta maaf kalau ada buat salah.

Mungkin ada kesalahan daripada saya atau keluarga, kami minta maaf. Kalau rasa tak puas hati ke apa, boleh je mesej. Bila macam ni dah jadi besar. 

Saya tak pasti kalau ada dakwaan orang ketiga menghasut atau apa cuma bagi saya hal keluarga perlu diselesaikan secara peribadi. 

Terdahulu, Shakilla memuat naik hantaran di media sosial memaklumkan dia sudah sembilan hari tidak berhubung dengan anaknya, Ameena ketika mereka berada di Tanah Suci.

Untuk rekod, Shakilla dan Fizi berkahwin pada 18 Januari 2018 sebelum bercerai pada Disember 2021. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ameena.

Shakilla kemudian berkahwin dengan Mohd Fariz pada 24 Februari 2024, manakala Fizi pula mendirikan rumah tangga dengan Siti Zulaikha pada 23 Oktober 2023.