berita

‘Saya Nak Dengar Daripada Mulut Dia Sendiri Kenapa Dia Lawan Arus’ – Anak Mangsa Nahas SUKE

June 18th, 2023 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Seperti yang kita tahu, penunggang motosikal yang melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang ‘superbike’ di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang sudah pun menyerahkan dirinya kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan: Penunggang Motosikal Lawan Arus Sudah Serah Diri, Sesat Punca Masuk Jejambat Lebuhraya SUKE

Anak mangsa mahu bertemu suspek

Terbaru, anak kepada mangsa nahas tersebut menyuarakan hasratnya mahu berjumpa dengan penunggang motosikal tersebut selepas dimaklumkan pihak polis berhubung tindakan suspek yang menyerah diri.

Memetik Harian Metro, Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36, mendedahkan bahawa dia mahu mendengar sendiri alasan daripada individu tersebut yang menunggang motosikal secara melawan arus hingga mengorbankan bapanya, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62.

Saya juga dimaklumkan pegawai penyiasat kes bahawa individu itu mengalami kecederaan akibat kemalangan berkenaan. Polis memaklumkan supaya saya menangguhkan hasrat bertemu lelaki terbabit memandangkan kesihatan lelaki itu tidak mengizinkan.

Namun, saya tetap mahu bertemu penunggang motosikal itu. Saya mahu mendengar daripada mulut dia sendiri, kenapa dia menunggang melawan arus.

Tambah Muhammad Hafidz lagi, dia berasa sangat terkilan dengan tindakan suspek serta ahli keluarganya yang tidak tampil menjelaskan perkara yang berlaku serta meminta maaf kepadanya sekeluarga meskipun kejadian itu menjadi bualan ramai di media sosial

Sebagai manusia biasa, saya memahami setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Disebabkan itu, saya mahu dengar alasan darinya supaya apa yang berlaku ini ada penamat.

Sejujurnya, kami sekeluarga sudah reda dengan apa yang berlaku dan boleh memaafkannya. Malah saya juga yakin sekiranya bapa masih hidup, dia pun pasti akan memaafkannya.

Dalam pada itu, Hafidz  menitipkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak memberikan kata semangat serta komen positif kepada mereka sekeluarga terutama sekali ibunya.

Terdahulu, tularnya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang penunggang ‘superbike’ jenis Ducati maut akibat terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku akibat mangsa yang cuba mengelak seorang lagi penunggan motosikal yang melawan arus di lebuhraya berkenaan.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×