Beberapa hari yang lalu, kita dikejutkan dengan sebuah kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa besar yang maut dipercayai cuba mengelak seorang lagi penunggang motosikal yang melawan arus di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang.
Artikel Berkaitan: ‘Influencer’ Minta Saksi Bantu Kongsi Maklumat, Sepupu Maut Kemalangan Langgar Lari
Penunggang lawan arus serah diri
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, suspek yang tampil membuat laporan polis berkaitan kemalangan tersebut merupakan seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai peniaga makanan dan menetap di Kajang.
Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tetapi tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku.
Menerusi keterangan yang diambil, suspek juga difahamkan terjatuh dari motosikalnya akibat pergeseran dengan motosikal mangsa.
Selepas kemalangan terbabit, suspek terus pulang ke rumah dan hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen serta hebahan di media sosial.
Pemeriksaan pada suspek mendapati lelaki itu mengalami patah di bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat kemalangan terbabit.
Susulan itu, sebuah motosikal jenis Yamaha dirampas pihak polis bersama dengan beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan.
Kedua-dua motosikal terbabit akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.
Tangkapan tidak dibuat memandangkan keadaan suspek dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak.
Prosedur lanjut akan diambil setelah keadaan stabil.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang penunggang ‘superbike’ jenis Ducati maut akibat terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang.
Difahamkan, kemalangan itu berlaku akibat mangsa yang cuba mengelak seorang lagi penunggan motosikal yang melawan arus di lebuhraya berkenaan.
Sumber: Harian Metro