berita

‘Saya Salahkan Diri Sendiri’ – Amar Asyraf Buka Mulut, Jawab Dakwaan Curang

October 10th, 2019 | by Athirah
Isu & Kontroversi

Setelah sekian lama menyepi, nama pelakon Amar Asyraf secara tiba-tiba kembali hangat selepas dia dikaitkan dengan kontroversi membabitkan isu dirinya menjalinkan hubungan sulit bersama seorang wanita dalam statusnya bergelar seorang suami. Pendedahan wanita bernama Ellika Azman itu bukan sahaja mendakwa Amar pernah menjalinkan hubungan sulit dengan dirinya, malah dia juga mengatakan pelakon itu juga kini sudah mempunyai dua orang isteri.

Terbaru menerusi laporan Berita Harian, Amar tidak hanya berdiam diri dan bertindak membuka mulut bagi menjelaskan kontroversi yang sedang melanda dirinya itu.

Hubungan dah berakhir sejak Mac

Menurut laporan portal itu, Amar berkata dia sudah tidak menjalinkan hubungan bersama wanita itu sejak dari bulan Mac lagi.

Katanya, pada ketika ini dia tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa malah turut berharap apa yang berlaku di antara dirinya bersama gadis tersebut menjadi rahsia di antara mereka berdua.

Saya tidak mahu membuka aib sesiapa, tambahan pula hubungan saya dengan gadis itu sudah berakhir pada Mac lalu. Biarlah apa yang berlaku menjadi rahsia kami.

Akui silap

Pelakon yang juga pengarah itu turut menyalahkan diri sendiri kerana membiarkan dirinya terjerat dalam percintaan tiga segi.

Justeru katanya, penjelasan kali ini diharap dapat menutup semua kontoversi yang tercetus dan turut meminta supaya tidak ada mana-mana pihak yang kembali mengungkit tentang isu ini.

Dalam hal ini, saya salahkan diri sendiri kerana membiarkan diri terjerat dengan cinta tiga segi.

Apa yang berlaku antara kami sudah menjadi sejarah dan tidak perlu dikenang lagi. Tetapi, jika ada pihak yang terus mengungkit perkara itu, saya tidak teragak-agak membawanya ke muka pengadilan.

Masih baik dengan isteri

Menceritakan tentang keadaan dirinya bersama isteri selepas kontroversi tersebut berlaku, Amar berkata hubungan di antara mereka berdua masih baik dan berjalan dengan lancar.

Isteri tahu hubungan saya dengan gadis itu. Dia tidak melatah, malah tenang apabila saya berterus terang perkara sebenar. Dia bagaimanapun, terkilan apabila cerita itu mula tersebar.

Keluarga juga tahu mengenai perkara itu. Saya akui, saya yang patut dipersalahkan dalam hal ini dan tidak akan sekali-kali menuding jari menyalahkan orang lain.

Sumber: Berita Harian, mStar