Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan kelmarin mengesahkan kejadian yang menimpa Mejar Mohd Zahir Armaya sebagai kejadian terpencil dan merupakan satu kemalangan dalam latihan. Memetik laporan Harian Metro, TDM turut mendapati peralatan yang digunakan semasa latihan berada dalam keadaan baik.
Bapa, seniman AR Badul walaubagaimanapun memohon inkues dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kematian anaknya itu.
Penjelasan TDM terlalu ringkas
Sebagai seorang bapa, seniman ini beranggapan penjelasan yang diberikan Tentera Darat Malaysia itu terlalu ringkas dan tidak menyeluruh. Oleh itu, dia memohon satu inkues untuk menyiasat punca sebenar kematian anak.
Saya bapa Mohd Zahir. Sudah pasti saya mahukan penjelasan yang lebih terperinci dan bukannya daripada media massa.
Pihak berkuasa ada nombor telefon saya dan mereka boleh hubungi saya untuk menerangkan apa yang menyebabkan anak saya maut, namun tiada seorang pun yang berbuat demikian…saya sangat hampa.
Kalau boleh saya mahukan inkues, sama seperti yang dijalankan terhadap kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Saya mahu mengetahui punca sebenar dan kronologi bagaimana anak saya boleh maut dan apakah usaha menyelamatkannya selepas arwah ditembak.
Tambahnya lagi, pihak bertanggungjawab juga tidak menjelaskan sama ada baju kalis peluru yang dipakai mengikut ketetapan atau pun tidak. Katanya, bukan sahaja keluarga malah rakyat Malaysia turut mahukan penjelasan selepas apa yang berlaku.
Tidak mahu mengeruhkan keadaan
Ramai hubungi saya untuk memperjuangkan nasib arwah anak, namun saya tidak mahu mengeruhkan keadaan memadai dengan penjelasan terperinci mengenai kejadian itu.
Bukan saya dan keluarga saja yang mahukan penjelasan, tetapi rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini. Mereka juga berhak mengetahui perkara sebenar.
Isteri, Nour Shafinar redha dan menerima keputusan lembaga siasatan tersebut. Dia yang pernah bertugas di 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Kem Genting Klang sangat memahami risiko sebagai seorang anggota tentera.
Malah katanya, dia tidak akan pertikai hasil siasatan Lembaga Siasatan TDM (Tentera Darat Malaysia) kerana tahu ia terjadi ketika latihan.
Tentera Darat Malaysia walaubagaimanapun akan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang terlibat dalam kejadian.
Sumber : Harian Metro