berita

‘Saya Tak Tahu Punca Dari Mana Tapi…’ – Ibu Aiman Tino Sahkan 10 Ahli Keluarga Positif Covid-19

August 4th, 2021 | by Zulaikha
Isu & Kontroversi

Penyanyi Aiman Tino, 23, diduga apabila hampir seluruh ahli keluarganya yang menetap di Kuala Kubu Bharu (KKB) dan Shah Alam disahkan positif Covid-19 sejak 10 hari lalu.

10 orang positif

Menurut ibu kepada Aiman iaitu Hazelina Mat Jalil, 45, berkata selain dirinya dan suami, lapan ahli keluarga lain turut dijangkiti namun punca tidak dapat diketahui.

Anggota keluarga yang positif adalah lima orang anaknya iaitu Nurisfasha, 19, Mohd Haikal, 15, Nur Alya Mahsuri, 12, Nurqaseh, 10 dan Nina Izzara, 6, serta anak sulungnya iaitu Nurfara Ain, 27, suami, Mohd Zafril, 36, dan anak mereka yang berusia sebulan yang kini sedang menjalani kuarantin secara berasingan di Shah Alam.

Saya, suami dan lima orang anak saya disahkan positif… kami semua masih kuarantin kendiri di rumah. Selain itu, anak sulung, suami dan anak dia juga dijangkiti tapi mereka kuarantin di rumah Shah Alam.

Hari ini sudah masuk 10 hari kami kuarantin. Saya tak tahu punca dari mana tapi sebelum swab test tu, saya memang ada demam selepas balik dari pekan KKB.

Selepas itu, suami pula demam selepas balik ambil suntikan dos pertama vaksin. Bila dah ramai demam dalam rumah ini, kami ambil keputusan buat swab test dan keputusan positif.

Batuk dan susah bernafas

Bercerita mengenai kondisi keluarganya, Hazelina memberitahu semua orang sudah pulih namun dirinya masih teruk kerana mengidap penyakit asma.

Anak-anak dah baik demam… cuma, keadaan saya seorang saja yang agak teruk. Saya memang ada asma yang teruk tambah pula dengan demam dan batuk yang tak baik-baik lagi sehingga kini.

Seksa sangat batuk ini dan susah saya nak bernafas. Pagi tadi pun badan saya jadi sangat lemah dan rasa nak pitam. Tapi deria rasa dan bau sudah kembali.

Doktor memang ada cakap kalau tak cukup oksigen, kena call ambulans untuk bawa saya ke hospital. Hari ini keadaan saya semakin teruk pula tapi tak pasti lagi perlu ke hospital atau tidak.

Dalam pada itu, Hazelina menyatakan Aiman dan Fara Hezel tidak dijangkiti memandangkan mereka menetap di Kuala Lumpur dan Terengganu.

Sebelum ini, kakak kepada Aiman Tino iaitu penyanyi Fara Hezel, 25, memuat naik status di Instagram Stories memohon agar mendoakan keluarganya yang disahkan positif Covid-19.

 

Sumber: Instagram @officialfarahezel

 

SKIP THIS AD ×