Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa mereka akan memanggil beberapa individu termasuk artis untuk membantu siasatan berhubung aktiviti penggubahan wang haram yang melibatkan sindiket Macau Scam.
Artikel berkaitan: Pelakon Lelaki & Pengacara Wanita Akan Dipanggil SPRM Bantu Siasatan Kes Macau Scam
Susulan daripada itu, segelintir individu telah mendakwa bahawa Zulin Aziz merupakan salah seorang artis yang terlibat dalam sindiket tersebut. Bagi menjelaskan situasi sebenar, Zulin telah memuat naik beberapa posting yang menafikan bahawa artis tersebut merupakan dirinya.
Keep calm
Apalah salah dosa aku? Korang fitnah aku bertubi-tubi, cakap memalukanlah apalah. Selagi tak disebut nama, selagi tu netizen buat andaian dan fitnah aku. Di sini saya jelaskan, saya tidak pernah dipanggil untuk bantu siasatan oleh @sprm.community . Saya tidak ada kena mengena dengan sindiket itu malah tidak pernah menjalankan perniagaan dengan mereka. Dmagia ,bisnes yang saya usahakan ini adalah kerjasama saya dengan syarikat sireh emas,boleh google kalau tak tahu.
Saya tidak pernah dipanggil,terlibat,dan ada kena mengena. Susulan dari kes ini, gambar saya disebarkan netizen hanya kerana saya mengenali mereka. Anda juga pernah ada kenalan. Kalau @emeliehanif_ ke @ayranasir_official ke kena tangkap, logiklah saya dipanggil Sprm. Kalau saya diminta untuk bagi keterangan, apa yang saya boleh kongsi, saya pernah pergi majlis hari jadi anaknya. Saya pernah bercuti di itali pakai duit sendiri. Saya pernah masakkan mereka asam pedas ikan pari.
Saya memang suka berkawan dan melakukan hal yg sama dengan semua. Sesiapa saja yang berkawan dengan saya, saya masak untuk mereka, saya pergi ke majlis yang dijemput dan jika diajak bercuti, sekiranya ada kelapangan, saya pergi. Saya juga menjaga batas pergaulan. Yang paling rapat dengan saya anda boleh tengok sendiri aktiviti harian saya di instagram. Sekian dari saya untuk bantu siasatan. Saya berani kerana benar. Saya mencari rezeki yang halal dengan meniaga, berlakon, buat review, masak. Saya tidak pernah menayang kemewahan dan saya menjalani kehidupan serba sederhana. Saya harap dengan apa yg saya tulis ini sedikit sebanyak buat anda berfikir dan stop fitnah saya makan duit haram. Tidak ada apa lagi yg nak dikatakan,cukuplah karangan ini dari saya buat netizen diluar sana.
Menurut Zulin, namanya tidak pernah dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan kes jenayah online tersebut. Tambahnya, hubungan dia dan individu tersebut sekadar kawan sahaja. Mengenai perniagaan yang sedang diusahakan, Zulin memberitahu ianya tidak ada kaitan dengan mana-mana individu yang terlibat dengan ‘Macau Scam’.
Jelasnya lagi, dia bersedia untuk memberi kerjasama seandainya pihak SPRM memanggilnya untuk memberi keterangan.
Selalu jadi mangsa fitnah
Dari dulu lagi selalu jadi mangsa fitnah, cyberbully, tapi saya tahu saya kuat. Mungkin ini adalah ujian buat saya. Saya cuma manusia biasa yang kadang terkesan dengan tohmahan, cacian dan hinaan netizen terhadap saya dengan fitnah seperti ini. Syukur Alhamdulillah saya dikelilingi orang-orang yang positif dan sentiasa beri saya semangat termasuklah peminat, netizen yang positif mendoakan saya. Mulai dari sekarang,saya akan block fake account, komen negatif dan hanya fokus pada kerjaya dan mereka yang menyokong saya.
Saya tidak akan ulas lagi kes ini oleh kerana statement dari saya telah pun saya bagi tadi. Saya tak dapat nak tutup mulut anda, tapi sekiranya anda mengeluarkan statement berbaur fitnah ke atas saya dan memberi andaian kepada orang lain untuk turut sama menfitnah, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan. Pada mak cik dan pak cik bawang, masa sekarang ni adalah masa yang paling tepat simpan duit, bukan bayar duit saman. Jaga tutur kata,jaga adab, jaga penulisan kita.
Saya tegaskan sekali lagi, saya tidak akan beri muka kali ini. Kepada yang dah minta maaf, dengan hati terbuka, saya memaafkan anda. Semoga dengan memberi kemaafan ini, Allah beri saya ketenangan. Saya perlu fokus dalam kerja. Mereka menuntut 100% komitmen dan fokus dari saya. Semestinya saya nak melakukan yang terbaik dalam kerjaya saya. Oleh itu, maaf para pembenci, saya tidak ada masa melayan anda.
Zulin juga meluahkan perasaan tidak puas hati apabila beberapa individu telah meninggalkan komen berunsur fitnah di media sosialnya. Dia juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seandainya kenyataan berunsur fitnah yang dilemparkan terhadapnya tidak dihentikan.
Sumber: Zulin Aziz