Platform digital Media Prima Berhad (MPB) iaitu SAYS dengan bangganya ingin mengumumkan pelancaran kempen kesedaran kanser payudara, ‘The Pink Ribbon’ yang akan berlangsung sepanjang Oktober ini.
Artikel Berkaitan: Terbuka Kepada Pelajar Umur 15 Hingga 25 Tahun, YouthSAYS Jemput Penulis Muda Untuk Kongsi Pendapat, Artikel & Penulisan Kreatif
Nak tingkat kesedaran kanser payudara
Bersempena dengan Bulan Kesedaran Kanser Payudara, kempen ini diadakan bagi meningkatkan lagi kesedaran tentang kanser payudara melalui kisah-kisah survivor yang menginspirasikan, temu bual pakar, kandungan video yang menarik, dan daripada pelbagai sumber berguna.
Hal ini kerana, statistik daripada Pendaftaran Kanser Kebangsaan melaporkan terdapat kira-kira 1 daripada 19 wanita di Malaysia akan menghidap kanser payudara dalam hidup mereka di mana lebih 8,000 kes baru kanser payudara didiagnos, mewakili kira-kira 35% daripada semua kanser yang menjejaskan wanita Malaysia pada setiap tahun.
Ini menunjukkan bahawa kanser payudara kekal sebagai kanser paling lazim dalam kalangan wanita di Malaysia.
Boleh dirawat jika dikesan awal
Walau bagaimanapun, kadar kelangsungan hidup seseorang itu boleh meningkat sebanyak 90% sekiranya kanser payudara ini dikesan dengan lebih awal.
Sehubungan dengan itu, program ‘The Pink Ribbon’ akan menampilkan satu siri artikel, video, dan temu bual sepanjang bulan Oktober ini.
Topik-topik termasuk perkongsian perjalanan peribadi survivor kanser payudara dan cabaran yang mereka hadapi, penjelasan tentang kanser payudara, sumber bantuan kewangan, serta saringan pengesanan awal.
Kempen ini juga akan menyediakan pandangan daripada pakar perubatan terkemuka, menawarkan maklumat tentang pemeriksaan payudara sendiri, pilihan rawatan, dan sistem sokongan untuk individu serta keluarga yang terkesan oleh kanser payudara.
Dalam kerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Pusat Perubatan Sunway (Sunway City), Pusat Kanser Sunway, dan Hospital Pantai Kuala Lumpur, ‘The Pink Ribbon’ bertujuan untuk menyediakan pusat sumber yang komprehensif bagi masyarakat.
Jangan lupa layari laman web says.com/thepinkribbon untuk mendapatkan kandungan terkini, termasuk akses kepada rangkaian sokongan kanser payudara dan sumber pendidikan.