Selepas beberapa kali berhadapan pelbagai cabaran dan penundaan, Shiraz Projects Sdn Bhd dengan bangganya membawakan kembali kepada umum sebuah festival berjudul Nusa Fest.
Artikel Berkaitan: Wings Rancang Tunai Umrah Selepas Habis Konsert – ‘Kami Pergi Berlima’
Nusa Fest
Festival yang bakal berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Julai 2023 itu menggabungkan tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura serta memilih Bandar Malaysia, Sungai Besi sebagai lokasinya.
Pengarah Urusan Shiraz Projects, Sharizdeen Karim berkata penganjuran Nusa Fest bertujuan untuk mempromosikan budaya dan karya seni ketiga-tiga buah negara tersebut.
Malah, pihaknya turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung termasuk pengangkutan bas dan ruang parkir yang luas.
Sedia maklum festival ini akan berlangsung 8 dan 9. Nusa itu berasal daripada perkataan nusantara yang mana saya ingin ketengahkan industri nusantara Malaysia , Indonesia dan Singapura.
Malah ia juga melibatkan industri kraf tiga negara ini sekali gus dapat mempromosikan industri kreatif yang ada. Budaya tiga negara ini sangat tinggi, sebab itu la digabungkan.
Lokasi adalah ditengah Kuala Lumpur dan sesuai untuk adakan festival sebegini. Parkir juga disediakan untuk pengunjung, ada juga shuttle bus dari KL Sentral sebanyak dua biji.
Shiraz berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Nusa Fest yang diadakan di Park Royal Hotel Collection, pada Selasa.
Antara aktiviti yang akan dijalankan adalah Panggung Nusa yang bakal menyaksikan persembahan muzik oleh 12 kumpulan dari Malaysia, 11 kumpulan dari Indonesia serta sebuah kumpulan dari Singapura.
Search, Wings, Butterfingers
Menariknya lagi, apabila tiga kumpulan tersohor tanah air iaitu Search, Wings dan Butterfingers turut mengambil bahagian dalam festival ini.
Pastinya dengan kehadiran tiga kumpulan ini bakal mengubati kerinduan peminat apabila kali terakhir menyaksikan Search dan Wings berkongsi pentas adalah pada 2003, manakala Butterfingers muncul kali terakhir pada empat tahun lalu.
Mengulas mengenai perkara itu, Shiraz berkata dia dan pasukannya telah berhempas pulas untuk mendapatkan kumpulan tersebut.
Untuk dapatkan barisan ini hampir tiga hingga empat bulan bertungkus lumus saya dan team saya.
Saya terima kasih kepada Search, Wings dan Butterfingers untuk buat persembahan. Saya tahu mereka faham betapa pentingnya festival ini untuk industri nusantara.
Difahamkan, Panggung Nusa bakal berlangsung selama 10 jam tanpa henti di atas dua pentas yang berbeza.
Selain Panggung Nusa, antara aktiviti lain yang bakal dijalankan adalah Warong Nusa dan Pasar Nusa.
Tiket kini boleh didapati dengan harga RM200 (untuk dua hari/seorang) atau RM700 (untuk empat orang) melalui www.myticket.asia.