Pelakon, Marissa Yasmin sudah menjangka bakal menerima kecaman daripada netizen susulan babak kontroversi dalam drama Walid yang memaparkan dirinya menjadi imam solat kepada jemaah lelaki dan perempuan.

Artikel Berkaitan: Impak ‘Walid’, Faizal Hussein Terima DM Wanita Indonesia Minta Jadi Isteri – ‘Ramai Ajak Kahwin’

Artikel Berkaitan: Marissa Yasmin Pernah Hidup Dengan Insan Narsistik – ‘Narsistik Selalu Nampak Seperti Mangsa Keadaan’

‘Minta maaf dengan Allah’

Marissa, 48, berkata dia sedar adegan tersebut boleh menimbulkan pelbagai reaksi, namun menegaskan tujuan babak itu bukan untuk memesongkan akidah sebaliknya membawa mesej kesedaran kepada masyarakat.

Mengenai babak menjadi imam itu, saya memang sudah sedia maklum akan menerima kecaman. Sudah tentu saya dihentam teruk kerana ada yang melabel saya cuba memesongkan umat Islam.

Namun satu perkara yang pasti, tujuan saya melakonkan babak itu bukanlah untuk memesongkan akidah mana-mana pihak.

Sebaliknya bertujuan membuka mata masyarakat. Hakikatnya perkara seperti itu pernah berlaku di tempat lain, apabila seorang wanita menjadi imam dan di belakangnya terdapat lelaki serta perempuan yang mengikut solat.

Niat saya hanyalah untuk memberi kesedaran kepada penonton. Jika perkara seperti imam wanita berlaku, masyarakat perlu lebih peka kerana dalam Islam memang tidak ada konsep wanita menjadi imam kepada lelaki.

Marissa berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Viu Together Gather dan Iftar yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.

Dalam pada itu, Marissa memberitahu dia membuat persediaan mental sebelum menjalani penggambaran babak tersebut kerana bimbang jika adegan berkenaan menimbulkan salah faham dalam kalangan penonton.

Menurutnya lagi, sebelum melakonkan adegan tersebut dia telah mendapatkan pandangan daripada beberapa ustaz bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan difahami dalam konteks yang betul.

Setiap kali hendak menjayakan babak itu, saya akan membuat persediaan mental. Jika saya tahu esok perlu melakonkan adegan berkenaan, malam sebelumnya saya akan berdoa dan memohon keampunan daripada Tuhan.

Sebelum buat babak jadi imam, malam sebelumnya saya minta maaf dengan Allah. Saya jelaskan dalam doa bahawa niat saya bukan untuk memesongkan akidah, sebaliknya hanya melakonkan watak bagi menyampaikan mesej.

Saya juga berasa takut sekiranya perkara yang dilihat seperti menyimpang itu memberi kesan kepada diri saya. Jadi sebelum menjalani penggambaran, saya akan banyak memohon ampun dan berdoa agar diberikan kekuatan.

Selain itu, saya juga ada mendapatkan pandangan daripada beberapa ustaz. Sebenarnya mesej yang cuba disampaikan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Kita mahu penonton faham bahawa perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan masyarakat perlu lebih peka apabila berdepan situasi sebegitu.