Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel akan tetap menjadi diri sendiri pada tahun 2023 dengan menyuarakan pendapatnya di media sosial.
Naim mempercayai perkara berikut merupakan satu tanggungjawab dan akui tidak menghalang segala jenis kritikan terhadapnya.
Artikel Berkaitan: ‘Tuhan Bukan Cipta Adam & Haikal’ – Naim Daniel
Artikel Berkaitan: PRU15: Naim Daniel Harap Pemerintah Dengar Suara Rakyat – ‘Dekat Akhirat Akan Ditanya, Jaga-Jaga Dengan Amanah’
Menjadi diri sendiri
Ketika ditemui ohbulan!, Muhammad Naim Daniel Baharin atau lebih dikenali sebagai Naim Daniel menyatakan dirinya sentiasa memperbaiki diri dengan melihat dari perkembangan terdahulu dari segi bagaimana dirinya bersuara membincangkan sesuatu isu di media sosial.
Sebenarnya saya buat ‘post mortem‘ setiap hujung tahun. Memang saya akan tengok balik semua dan apabila diperiksa, dekat situ saya boleh lihat tahap peningkatan dari segi kematangan diri saya dari tahun 2020 sehingga 2022. Saya cuba ‘keep track‘ benda sebegini.
Menurutnya, dia menyedari segala perbuatan dan perkara yang disampaikan akan sentiasa meninggalkan kesan sama ada baik atau buruk yang memerlukan seseorang itu menghadapinya sendiri.
Naim juga memberitahu bahawa dirinya akan tetap teguh dengan perkara yang dipercayai kerana baginya masing-masing memiliki ideologi yang tersendiri.
Naim berkata demikian ketika sidang media Konsert Patah Hati anjuran ANS di MidValley, Kuala Lumpur, semalam.
Satu tanggungjawab
Ujar Naim, perkara tersebut merupakan satu tanggungjawab dan dia bersedia menerima apa sahaja kritikan yang diberikan.
Dengan jumlah pengikut yang ramai, ianya menjadi satu tanggungjawab dalam kita menyuarakan sesuatu isu itu. Kalau kita diam sahaja pun mungkin akan menjadi masalah untuk kita nak dipersoalkan nanti.
Kita ada tanggungjawab besar tapi tidak digunakan medium itu untuk disampaikan kepada orang-orang di luar sana.
Penyanyi yang berusia 26 tahun itu turut menyatakan bahawa dirinya tidak menghalang sebarang kritikan yang akan dilontarkan kepadanya dan akan tetap terus meraikan ‘perbincangan’ di media sosial.
Walau bagaimanapun, Naim akui media sosial merupakan medium yang berbahaya kerana ianya boleh menjatuhkan seseorang dengan hanya satu langkah yang salah. Katanya, segala yang disampaikan melambangkan diri seseorang oleh itu haruslah berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu perkara.
Sementara itu, Naim Daniel juga merupakan antara barisan artis yang bakal melangsungkan Konsert Patah Hati bersama Ernie Zakri, Noh Salleh, Aisha Retno, Insomniacks, dan Nastia pada 15 Mac 2023 di Zepp Kuala Lumpur.
Pembelian tiket boleh dibuat di laman web www.ticket2u.com.my. Harga jualan tiket bermula dari RM170 hingga RM5,5229 dan segala maklumat mengenai Konsert Patah Hati boleh didapati di laman-laman media sosial rasmi Konsert Patah Hati.