Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman iaitu Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz mengakui dia kini boleh memberi sepenuh perhatian terhadap persiapan majlis perkahwinan anaknya bersama tunang, Bella Astillah.

Artikel Berkaitan: ‘Terima Kasih Kepada Tunang Saya Kerana Sentiasa Bersama’ – Ucapan Sorot Perhatian, Netizen Sifatkan Syed Saddiq ‘Green Forest’

Artikel Berkaitan: Syed Saddiq & Bella Astillah Boleh Fokus Persiapan Kahwin Dengan Tenang

Fikir persiapan kahwin – Ibu Syed Saddiq

Menurut Sharifah Mahanu, dia dan seluruh ahli keluarga sebelum ini sengaja menangguhkan segala persiapan kerana mahu menunggu keputusan rayuan akhir membabitkan Syed Saddiq.

Kami memang belum membuat sebarang persiapan kerana menunggu keputusan hari ini. Hari inilah penentunya. Sekarang barulah boleh fikir hendak ikat bunga telur, cari telur dan membuat persiapan lain.

Sebelum ini memang tiada mood langsung kerana selagi perkara ini belum selesai, kami tidak mampu memikirkan soal majlis.

Bayangkan jika keputusan hari ini tidak memihak kepada Saddiq, bagaimana perasaan kami? Saya juga tidak mahu mengecewakan keluarga Bella.

Sharifah Mahani berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai prosiding rayuan akhir Syed Saddiq di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Sharifah Mahani mengakui dia tidak dapat melelapkan mata dan hilang selera makan kerana terlalu memikirkan keputusan yang bakal diputuskan mahkamah.

Memang saya tak tidur. Tak boleh makan juga. Orang kata kalau bercinta sampai tak mandi, tapi ini lain pula ceritanya. Syukur alhamdulillah, Saddiq dikelilingi insan-insan yang menyayanginya dan memahami segala pengorbanannya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella Astillah mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.